Nelayan Lemas Dipercayai Bot Terbalik Dipukul Ombak

TUMPAT: Seorang nelayan lemas apabila bot dinaiki dipercayai terbalik akibat dipukul ombak di Kuala Pantai Suri, di sini, semalam.

Mayat Lazim Yusoff, 43, ditemui kira-kira jam 2.15 petang berhampiran tebing Kuala Pantai Suri oleh penduduk kampung dan nelayan yang membantu mencari mangsa.

Abangnya, Anuar Yusoff, 53, berkata terdahulu mangsa yang berasal dari Kampung Pantai Haji Nik Mat, pergi ke rumah bapa saudara di Kampung Baru Nelayan dengan menaiki bot bersendirian.

“Namun pada jam 1.15 tengah hari, saya menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga memaklumkan ada nelayan ternampak bot milik Lazim terbalik di Kuala Pantai Suri.

“Susulan itu, saya dan seorang lagi adik bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik sahaja tiba, ramai nelayan serta penduduk kampung didapati membantu mencari mangsa.

“Kira-kira 10 minit kemudian, saya ternampak satu objek timbul tenggelam dalam gulungan ombak berhampiran tebing pantai. Selepas memerhati, saya pasti ia jasad manusia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tumpat di sini, semalam.

Anuar berkata, beliau bersama penduduk kampung kemudian mendekati sebelum mendapati objek itu adalah mayat adiknya.

Beliau berkata, mangsa tidak turun ke laut, semalam, berikutan ombak kuat lalu mengambil kesempatan untuk menjenguk bapa saudara mereka.

“Arwah mengambil jalan pintas untuk pulang, iaitu melalui Kuala Pantai Suri yang berdekatan perairan Kuala Besar. Sudah tiga hari ombak besar dan kebanyakan nelayan dengan bot kecil memang tidak turun ke laut,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Latiff, Kota Bharu, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Jangan lupa like page kami Berita Tular

Add Comment