Guna sagu hasilkan fabrik batik

Guna sagu hasilkan fabrik batik

MUKAH: Sagu atau linut yang menjadi makanan kegemaran etnik Melanau dikenal pasti boleh digunakan sebagai inovasi terbaharu menghasilkan fabrik batik yang unik.

Linut dilihat mampu menjadi bahan penghalang menggantikan lilin berdasarkan sifatnya selepas kering dan boleh ditanggalkan daripada fabrik menggunakan air.

Kunjungan BH Online ke bengkel membuat batik linut yang terletak di Kampung Telian Tengah, di sini, baru-baru ini, mendapati kesan lipatan kain disaluti linut yang diwarnakan memberi keunikan kepada latar reka corak kain, seakan-akan kesan ikat celup.

Proses pembuatan batik bermula dengan kain putih kapas sepanjang 2.5 sehingga empat meter dicelup di dalam linut kemudian dijemur sehingga kering, seterusnya ia dicelup kali kedua untuk dimasukkan warna terang dan dijemur sekali lagi.

Kain kemudian dicelup sekali lagi ke dalam bahan kimia khas untuk mematikan warna dan dijemur sehingga kering, direbus serta dicuci.

Motif berinspirasikan busana tradisional dan alam semula jadi seperti kunci (butang) baju bangkuas iaitu baju tradisional Melanau, buah mulung dan terendak dicetak di atas batik menggunakan teknik cetakan sutera saring.

Penyelaras Projek Batik Linut, Diana Rose, berkata Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) cawangan Sarawak menubuhkan bengkel itu susulan penganjuran Makmal Teknikal Pembuatan Batik Linut bagi memberikan pendedahan kepada komuniti di situ berkenaan bahan, proses, teknik dan rekaan produk siap pada Februari dan Mac lalu.

Katanya, inovasi ini memberi pendedahan dan peluang menjana ekonomi lebih luas kepada kepada 30 penduduk setempat dan generasi muda yang berminat dengan seni tekstil.

“Kerjasama turut diadakan dengan pereka fesyen tempatan, Abdul Latif Mohti dan pereka muda untuk menghasilkan baju siap untuk lelaki dan wanita serta kain pasang daripada kain batik linut ini,” katanya.

Kain dicelup kali kedua dengan linut sebelum dijemur. – Foto Aziah Azmee

Kini sedang menyiapkan kain batik linut dan pakaian moden serta tradisional Melanau untuk dipamerkan pada Festival Kraf Tekstil Borneo 2019, yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, pada 12 sehingga 21 April ini.

Pereka muda, Nuriyati Morshidi @ Lim Ah Guan, berkata teruja untuk mempelbagaikan rekaan berasaskan batik linut.Katanya, teknik menggunakan linut ini boleh dianggap unik kerana daripada makanan utama orang Melanau fungsinya kini sudah berkembang kepada tekstil pula.

“Ia sesuatu yang mencabar dan mengujakan bagi menghasilkan pakaian siap dipakai kerana pereka perlu bijak menghasilkan rekaan yang mampu menarik perhatian bukan saja peminat fesyen tempatan malah ke pentas antara bangsa,” katanya.

Pereka, Abdul Latif , berkata pakaian yang dihasilkan daripada kain batik linut mungkin nampak mahal, tetapi hakikatnya ia mampu dimiliki dan digayakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Selain pakaian, batik linut juga boleh dijadikan sebagai penghias dalaman rumah seperti alas meja, sarung kusyen selain aksesori seperti subang dan kasut,” katanya. Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip, berkata inovasi itu dapat mewujudkan identiti baru bagi komuniti setempat. “Komuniti baru yang diwujudkan ini perlu diberi perhatian dan bimbingan berterusan sehingga mereka benar-benar memahami selok-belok keusahawanan terutama dalam aspek pemasaran.

“Masih banyak yang perlu diperkembangkan dalam penggunaan bahan linut untuk pembuatan batik. “Kajian pembangunan bahan linut ini akan diteruskan bagi mempertingkatkan lagi kualiti sebagai bahan penghalang dan mampu menggantikan lilin serta menjadikan batik linut ini sebagai batik mesra eko,” katanya.

Jangan lupa like page kami Berita Tular

Add Comment