usa Archive

[Video]…Subhanallah!!! – “Trump isytihar darurat di California, kebakaran terburuk 80 tahun,”…

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terpaksa mengisytiharkan darurat di California, ekoran kebakaran merebak ke beberapa gunung di sekitar Los Angeles.

Menurut White House, perisytiharan itu dibuat bagi memudah kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan susulan keadaan kecemasan akibat kebakaran hutan bermula awal bulan ini.

Ia juga bagi mengagihkan dana kecemasan kerajaan ke tempat yang dilanda bencana, termasuk Los Angeles, Riverside, San Diego, dan daerah Ventura.

NEWSWEEK melaporkan empat kebakaran terus marak di selatan California pada hari Khamis, dengan amaran yang berkuatkuasa pada hari Sabtu.

Kebakaran merebak ke arah Los Angeles, dan awal minggu ini, menjadikannya ke pantai Pasifik dengan asap-asap yang kelihatan dari satelit NASA.

Sebelum ini dilaporkan hampir 200,000 penduduk dipindahkan susulan kebakaran hutan di selatan California yang semakin buruk.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, kira-kira 5,000 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran di empat hutan yang telah memusnahkan ratusan kediaman di selatan negeri ini.

Jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat apabila kebakaran hutan baharu dilaporkan berlaku di utara San Diego.

Tonton Video :

Sumber berita : Selangorkini
Sumber Video : Youtube ABC News

[Video]…Intifada : “Hamas palu gendang perang,”…

PEMIMPIN Hamas, Ismail Haniya, menyeru intifada baru penduduk Palestin berikutan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Hanya intifada boleh menentang dasar Zionis disokong Amerika ini,” kata ketua pergerakan bersenjata Palestin yang mentadbir Semenanjung Gaza dalam ucapannya.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya, menyeru intifada baru penduduk Palestin dalam ucapannya selepas Presiden Amerika Syarikat, Donlad Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – Foto AFP

Sementara itu, Israel meningkatkan jumlah anggota tenteranya di Tebing Barat yang didudukinya.

“Selepas menilai keadaan semasa, keputusan dibuat untuk menambah jumlah batalion di kawasan terbabit (Tebing Barat) selain perisikan dan pertahanan dalaman.

“Selain itu, lebih ramai tentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga,” kata kenyataan tentera Israel.

Tindakan Trump itu dianggap mencurah minyak ke api marak serta dibantah hampir seluruh dunia, termasuk sekutu rapatnya, Eropah serta Britain dan PBB.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang mengecam tindakan Trump, berkata ia menyebabkan rantau itu kini menjadi amat panas.

“Tindakan ini meletakkan dunia, terutama rantau berkenaan (Asia Barat) dalam api yang marak.

“Hei Trump, apa yang anda mahu buat? Pendekatan jenis apa ini?

“Pemimpin politik tidak menegangkan keadaan, mereka berusaha mencari keamanan,” kata Erdogan di Ankara.

Tonton Video :-

Sumber : myMetro
Video : Youtube

Dewan Perwakilan US : “Undi tidak percaya gagal.”…

WASHINGTON : Dewan Perwakilan Amerika Syarikat semalam sebulat suara menolak usul seorang ahli Kongres untuk melaksanakan undi tidak percaya terhadap Trump, dengan pemimpin Parti Demokrat berpendapat langkah itu tidak sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini.

Seramai 364 pembuat dasar mengundi untuk menolak dan 58 mengundi untuk menerima usul ahli liberal Demokrat, Al Green untuk memulakan proses undi tidak percaya terhadap presiden Republikan.

Difahamkan, Green menggunakan usul istimewa untuk memaksa undian terhadap isu itu. Semua ahli Republikan menolak usul terbabit bersama-sama 126 pembuat dasar Demokrat.

Ketua Minoriti Dewan, Nancy Pelosi mengadakan sidang media mingguannya di Pusat Pelawat Capitol AS di Washington. – Foto AFP

Ketua Minoriti Dewan, Nancy Pelosi, berkata jawatankuasa Kongres perlu dibenarkan untuk menyiasat kes campur tangan Russia dalam pilihan raya Amerika Syarikat dan kemungkinan Trump bersubahat.

“Siasatan peguam sedang dilakukan dan semua siasatan ini patut dibenarkan untuk diteruskan. Ini bukan masanya untuk melaksanakan undi tidak percaya,” kata beliau merujuk kepada Robert Mueller.

Sumber – AFP
Via – BH Online

Baitulmaqdis : “Pemuda PAS Malaysia Akan Adakan Himpunan Besar Di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat Jumaat Ini”…

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 Rabiulawwal 1439 | 7 Disember 2017

BAITULMAQDIS MILIK UMAT ISLAM

Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pemuda PAS Malaysia
  1. Seluruh dunia menyaksikan Donald Trump telah mengumumkan Baitul Maqdis adalah ibu negara kepada Israel.
  2. Bagi umat Islam ianya adalah satu pengisytiharan paling biadap yang bakal mengundang kebangkitan ummah untuk membebaskan Baitulmaqdis dari tangan Zionis Yahudi.
  3. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengajak seluruh umat Islam untuk turun menyatakan solidariti ummah di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat sejurus selepas solat jumaat, 8 Dis 2017. Himpunan ini akan diketuai oleh YB Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS.

Sejahtera Bersama Islam

Mara Menuju Cita

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

AKIBAT 1MDB KITA TERGADAI KE TANGAN AMERIKA?

AKIBAT 1MDB KITA TERGADAI KE TANGAN AMERIKA?

Hari Malaysia 16 September tahun ini nampaknya bakal disambut dengan persoalan adakah negara kita telah tergadai ke tangan Amerika akibat 1MDB? Pertemuan antara Perdana Menteri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah menjadikan persoalan ini semakin kencang bertiup.

Jika sebelum ini 1MDB didakwa menjadi punca terlepasnya aset dan tanah negara ke tangan China, kini Amerika telah dilihat sebagai penerima manfaat daripada kemelut politik dalaman negara ini. Berikut analisis perkara yang perlu diberi perhatian:

1) Ekonomi Amerika Syarikat sebenarnya tidak memerlukan pakej bantuan Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi mereka. Sama ada pelaburan dari Khazanah, KWSP, mahupun dari MAB sekali pun, kesemua ini tidak memberi impak besar kepada ekonomi Amerika yang KDNK-nya hampir 60 kali ganda lebih besar berbanding Malaysia. Sebaliknya, Malaysia sebagai sebuah negara kecil yang sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman politik, ekonomi, mahu pun keselamatan yang lebih memerlukan Amerika Syarikat. Bagaimana isu 1MDB mempunyai kaitan dalam keadaan ini? Latar belakang hubungan ekonomi, politik, dan geopolitik Malaysia-Amerika perlu difahami dahulu.

2) Dari segi politik umum mengetahui bahawa pihak Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika telah giat menyiasat pelbagai tuduhan ke atas syarikat 1MDB. Hal ini dilihat boleh menggugat kestabilan politik dan pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional pimpinan PM Najib kerana dituduh ‘menggelapkan’ wang milik rakyat Malaysia. Selain tuduhan wang tersebut disalurkan ke akaun peribadi PM Najib, Syarikat Aabar-BVI yang dikawal individu bernama Low Taek Jho (Jho Low) dituduh ‘menggelapkan’ wang 1MDB tersebut dengan membeli pelbagai aset seperti hartanah, lukisan, jet peribadi, hinggalah ke penerbitan filem anak tiri PM Najib. Maka beberapa aset yang ‘berkait’ dengan 1MDB telah disita DoJ di luar negara serta siasatan pelbagai akaun di beberapa negara.

3) Perlu diketahui bahawa DoJ yang menyiasat kes ini dijangka bakal mendapat satu perempat daripada keseluruhan nilai aset 1MDB yang disita itu sekiranya kes ini terbukti benar. Meskipun pelbagai penafian telah dibuat oleh Peguam Negara, Bank Negara, serta SPRM, namun kesan politik terhadap kerajaan Barisan Nasional terutamanya dalam pilihan raya yang akan datang akibat persepsi siasatan DoJ ini dijangka agak besar. Apatah lagi dengan kebimbangan pendanaan dari Amerika yang sering didakwa BN membantu kempen dan aktiviti mesra pembangkang seperti dari National Endowment for Democracy (NED) dan Open Society Foundation (OSF), maka langkah ‘pencegahan’ perlu dilakukan.

4) Amerika Syarikat juga ialah pelabur yang kedua terbesar di Malaysia. Malah nilai dagangan Malaysia dengan Amerika menunjukan kelebihan yang ketara buat eksport kita ke Amerika berbanding import dari Amerika ke negara kita. Maka apabila Presiden Trump menyebut bahawa defisit iaitu jurang dagangan Amerika perlu diberi perhatian, keadaan ini memberi tekanan kepada Malaysia. Sesuatu perlu dilakukan untuk ‘mencegah’ pentadbiran Trump daripada mengurangkan pelaburan di Malaysia mahupun mengurangkan eksport Malaysia ke Amerika seperti getah, komponen elektrik dan elektronik, bahan kimia serta tekstil dan produk-produk lain yang memberi pulangan besar kepada negara.

5) Dari segi geopolitik pula China telah memperoleh pelbagai manfaat apabila pihak DoJ Amerika mula menyiasat dan menyita aset yang berkait dengan 1MDB secara terbuka. PM Najib telah ke Beijing dan memeterai pelbagai MoU mega dengan China seperti ECRL, pembelian empat Littoral Mission Ship (LMS) untuk TLDM, dan pelbagai projek hartanah, serta pelabuhan seperti di Kuantan dan Melaka di Malaysia. China yang sememangnya memiliki modal yang besar juga telah berhasil memperoleh bidaan membeli aset 1MDB seperti Edra Energy kerana terpaksa menjual aset untuk membayar hutang (pelan rasionalisasi) di samping syarikat seperti Geely yang memperoleh 49.9 peratus saham Proton. Maka mungkin didorong faktor ingin menghapuskan imej ‘Malaysia tunduk kepada China’, maka pentadbiran PM Najib memilih untuk mengimbanginya dengan lawatan ke Amerika Syarikat.

6) Hakikatnya, Kuasa China memang perlu untuk diimbangi terutama sekali di Laut China Selatan. Hasil pertemuan Najib-Trump ini, perlu diperhatikan bahawa dalam Kenyataan Bersama Kerjasama Komprehensif antara Amerika Syarikat dengan Malaysia bertarikh 13 September 2017, dinyatakan secara jelas: “They further called on all disputing parties to exercise self-restraint in the conduct of activities and refrain from action that erodes trust and confidence, and escalates tension, including the militarization of outposts”. China sememangnya diketahui aktif membina kelengkapan ketenteraan di pulau-pulau buatan mereka yang menjadi pertikaian di sekitar Kepulauan Spratly. Kapal-kapal milik China juga kerap menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

7) Susulan itu, meskipun pengumuman bahawa hubungan ketenteraan Malaysia-Amerika akan dieratkan, namun dari perspektif pertahanan negara, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius keperluan untuk mendapatkan pesawat pejuang pelbagai fungsi (MRCA) negara. Amerika Syarikat turut menghasilkan MRCA seperti Boeing F/A-18 Super Hornet yang menjadi pemerhatian di tanah air. Isu MRCA ini telah berlanjutan sejak LIMA 2015 hingga LIMA 2017 lagi. Apa pun tindakan Malaysia merancang untuk membeli aset ketenteraan Amerika yang bernilai USD60 juta sedikit-sebanyak mengimbangi pengaruh China yang semakin kuat.

8) Antara isu ekonomi yang menjadi perhatian ialah pembelian 25 pesawat Boeing 737 serta lapan 787 Dreamliners untuk Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang dijangka keseluruhannya bernilai USD10 bilion dalam tempoh lima tahun. Meskipun CEO MAB iaitu Peter Bellew pada Jun tahun ini pernah menyatakan hasrat untuk mengurangkan beberapa laluan antaranya ke Australia dan New Zealand, namun pembelian ini sesuai dengan keadaan MAB yang kini berada dalam keadaan pemulihan yang baik seperti dibuktikan peningkatan lapan peratus dalam suku kedua tahun ini. Sememangnya dijangkakan bahawa pembelian ini akan turut memberi manfaat strategik kepada MAB dan bukannya menguntungkan Amerika atau Boeing semata-mata. Berkenaan isu Khazanah pula, sebenarnya Malaysia hanya meningkatkan pelaburannya yang sedia ada pejabat di Lembah Silikon, California. Visinya adalah agar akan ada syarikat berteknologi tinggi di sana yang akan menjadi milik Malaysia kelak. Meski pun mencabar namun visi ini adalah strategik untuk kepentingan negara dan dianggap wajar. Berkenaan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, pada masa ini KWSP juga sudah pun melabur sebanyak USD7 bilion di Amerika. Maka apa yang baru hanyalah penambahan pelaburan sebanyak USD3 bilion hingga USD4 bilion lagi.

9) Tiada siapa mampu menafikan keperkasaan Amerika sebagai satu-satunya kuasa yang mampu untuk mengimbangi kehadiran China di rantau Pasifik. Namun isu 1MDB telah sedikit-sebanyak mempengaruhi persepsi umum terhadap tawaran PM Najib dalam hubungan Malaysia-Amerika, seperti mana juga tawaran beliau dalam hubungan Malaysia-China. Jika China berjasa dalam pelan rasionalisasi 1MDB, adakah Amerika pula akan berjasa dalam membantu Malaysia mengimbangi China dalam jangka masa panjang? Ataukah Amerika akan menekan Malaysia dengan kes tuduhan terhadap 1MDB? Setidak-tidaknya, urusniaga yang dimeterai di Washington ini telah meredakan seketika persoalan-persoalan ini.

Selamat Hari Malaysia.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)