umno Archive

Isu Baitulmaqdis : “Pemuda UMNO akan hantar bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat,”…

Pergerakan Pemuda UMNO akan menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini berhubung tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin

Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO memandang serius isu berkenaan dan beliau sendiri akan mengetuai rombongan menghantar bantahan tersebut selepas solat Jumaat.

“Kami sudah meminta izin daripada Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menghantar nota bantahan tersebut,” kata beliau.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Sambil mengutuk tindakan Amerika Syarikat itu, beliau berkata Pemuda UMNO tidak boleh menerima pendirian Amerika Syarikat memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

“Ini merupakan satu tempat penting bagi umat Islam dan menjadi kota pertikaian antara Palestin dan Tel Aviv,” katanya.

Khairy menegaskan tindakan Amerika Syarikat itu dikhuatiri akan mencetuskan keadaan yang sangat tidak stabil bukan hanya di Timur Tengah malah di seluruh dunia.

Mengenai pertemuannya dengan KULN, Khairy berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap memerlukan sokongan dan dukungan daripada mereka yang berada di luar negara bagi menyumbang kepada kempen pilihan raya umum UMNO dan BN termasuk menerusi media sosial.

Sumber : BERNAMA

Isu Baitulmaqdis : “UMNO rancang anjur perhimpunan solidariti,” – Zahid Hamidi…

UMNO akan berunding dengan rakan parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenai Baitulmaqdis.

UMNO akan berunding dengan rakan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin berhubung pengumuman AS membabitkan Baitulmaqdis. – foto BERNAMA

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan ini diadakan juga bagi menunjukkan penentangan terhadap keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kami yakin umat Islam akan bersama-sama rakyat Palestin bagi menghadapi cabaran ini,” katanya pada sidang media selepas ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pandangan beliau turut dikongsi rakan sejawatnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyatakan Malaysia ‘langsung tidak bersetuju’ dengan tindakan AS

“Kenyataan Presiden Trump (Donald) bukan sahaja kita tak persetujui tetapi kita tentang….noktah!,” katanya.

Selain itu, apabila ditanya sekiranya UMNO akan menyertai himpunan aman kelolaan Pas di Kedutaan AS esok, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, partinya akan menyokong usaha tersebut.

Demonstrasi aman anjuran PAS

“Kami tidak dapat hadir himpunan tersebut kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tetapi beberapa ahli UMNO yang tidak terlibat secara langsung dengan perhimpunan ini akan hadir,” katanya lagi.

Sumber : Astro Awani

Mantan Puteri UMNO : “Isteri Dan Suami Orang KANTOI Bersekedudukan Semasa PAU Berlansung”…

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) digesa agar mengadakan operasi pencegahan maksiat besar-besar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan bermula pada 5 Disember 2017 ini.

Mantan Ahli Jawatankuasa Kerja Puteri Umno Bahagian Klang, Wan Asshima Kamaruddin berkata, setiap kali Perhimpunan Agung Umno banyak berlaku pasangan yang berkhalwat berdasarkan pengetahuan beliau selama 17 tahun pernah bersama parti itu.

Wan Asshima Kamaruddin

Beliau membuat pendedahan itu kerana tidak mahu lagi bersekongkol dan bersubahat dengan perbuatan maksiat setiap kali berlangsung PAU, dalam satu kenyataan kelmarin.

“Saya cabar kepada pihak Pejabat Agama Islam buat operasi besar-besaran di Kuala Lumpur. Berapa ramai pasangan yang berkhalwat, berapa ramai pasangan bukan Islam bersama dengan orang Islam. Saya cabar pihak JAWI buat operasi besar-besaran untuk tangkap khalwat.

Wan Asshima Kamaruddin semasa bersama Puteri UMNO

“Dekat situ kita tengok, berapa ramai pasangan isteri orang, suami orang bersama dalam satu bilik. Ini kalau saya cerita kata saya fitnah, kalau saya cakap kata saya aib. Tetapi saya nampak kemungkaran (itu) semasa saya 17 tahun lagi.

Sempat bergambar dengan DS Rosmah Mansur

“Dan saya tidak akan sesekali bersubahat lagi. Sebab itu, saya minta JAWI semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) ini buat operasi besar-besaran di hotel-hotel Kuala Lumpur,” tegasnya.

Sumber – HARAKAHDAILY 4/12/2017
Sila Klik : Operasi Cegah Khalwat Di PAU

BN : “Jangan dabik dada pelaburan AS di Selangor”…

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diingatkan tidak berdabik dada dengan ‘kebanjiran’ pelabur asing khususnya dari Amerika Syarikat (AS) yang membawa pelaburan berbilion ringgit ke negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif berkata, Mohamed Azmin perlu berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana pelaburan itu hasil daripada hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden AS, Donald Trump.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif bercakap kepada pemberita di bangunan DUN Selangor, Shah Alam, hari ini.

“Tidakkan Menteri Besar sedar bahawa hubungan baik Perdana Menteri dengan Presiden Amerika Donald Trump menyebabkan keharmonian dan keselesaan pelabur-pelabur dari Amerika datang ke sini.

“Kehadiran Perdana Menteri ke Amerika tidak melibatkan apa-apa belanja, yuran melobi dan sebagainya.

“Maknanya hasil daripada hubungan baik Perdana Menteri dengan Presiden Amerika menyebabkan ramai yang datang ke Malaysia ini termasuk juga Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan DUN Selangor, di sini, hari ini.

Shahrum juga menyifatkan Belanjawan Selangor 2018 sebagai bajet defisit susulan penyusutan pendapatan negeri yang kurang disasarkan oleh kerajaan negeri dan kebergantungan kepada hasil tanah.

“Kerajaan negeri masih mengekalkan bajet defisit yang tinggi, di mana kalau dibandingkan tahun lepas, bajet defisitnya lebih tinggi daripada tahun lepas.

“Jangan sesekali kerajaan negeri hanya mendabik dada dengan segala peruntukan yang diberikan, tetapi dalam masa sama mereka memperlekehkan peranan Kerajaan Persekutuan yang banyak memberi keutamaan kepada rakyat Selangor,” tegasnya.

Katanya lagi, walaupun Selangor diperintah Pakatan Harapan, namun Perdana Menteri tidak pernah menganaktirikan negeri ini malah bermurah hati memberikan peruntukan hingga berbilion ringgit.

“Kalau hari ini Kerajaan Selangor memperuntukkan belanja pembangunan RM1.66 bilion, tapi Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih daripada RM2 bilion untuk Selangor.

“Ini tidak termasuk projek-projek prasarana besar seperti MRT, HSR, LRT 3 dan banyak lagi yang rata-ratanya memberi manfaat besar kepada penduduk Selangor sendiri,” katanya lagi.

Sumber – MalaysiaGazette.

[Video]…Bajet 2018 – “Mana janji Bandaraya Getah?”…

KUALA NERANG – Pembentangan Belanjawan 2018 diumumkan oleh perdana menteri Jumaat lalu mengingatkan kembali janji kerajaan bagi membina Bandaraya Getah di daerah ini.

Rata-rata penduduk Padang Terap, di sini menunggu janji dibuat kerajaan pada Belanjawan 2016 lalu yang sehingga kini masih lagi belum ditepati.

Penoreh getah di Padang Terap berharap Bandaraya Getah dapat meningkatkan pendapatan mereka dan menjadi kenyataan.

Mahmud Hassan, 62, berkata, penduduk kecewa apabila janji kerajaan untuk menjadikan daerah Padang Terap di Bukit Ketapang sebagai Bandaraya Getah masih lagi belum terlaksana.

Menurutnya, selepas perdana menteri mengumumkan pada Bajet 2016 lalu, penduduk Padang Terap gembira tetapi kini seolah-olah hanya tinggal angan-angan sahaja.

“Sehingga kini, masih belum ada sebarang pembinaan dibuat di ladang Bukit Ketapang seluas 0.6 hektar yang dijanjikan untuk dijadikan Bandaraya Getah,” katanya.

Mahmud berkata, difahamkan kerajaan pusat memperuntukkan RM320 juta bagi pembinaan itu.

Mahmud

“Penduduk mahu tahu sejauh mana pelaksanaan dilakukan tetapi kerajaan negeri hanya berdiam diri sahaja.

“Projek itu bakal jadi mercu tanda di sini dan kerajaan perlu beri penerangan kepada penduduk sejauh mana kejayaan dicapai sehingga hari ini,” katanya.

Malah katanya, penduduk di Padang Terap juga berharap Belanjawan 2016 lalu bukan hanya sekadar gula-gula sahaja untuk memberi kegembiraan kepada mereka di situ.

Hashim Awang, 58, berkata, penduduk di Padang Terap sentiasa mengikuti perkembangan cadangan pembinaan Bandaraya Getah itu.

Menurutnya, selepas Belanjawan 2016 lalu, penduduk gembira apabila Perdana Menteri menyatakan khabar baik itu tetapi kini mereka kecewa apabila tidak ada sebarang pembangunan dilakukan.

“Penduduk harap ia akan jadi kenyataan kerana dapat meningkatkan pendapatan penoreh getah di situ.

“Ini mampu dilakukan apabila pelbagai industri huluan dan hiliran turut dirancang di kawasan perindustrian teknologi tinggi itu,” katanya.

Tambahnya, Bandaraya Getah itu juga merupakan Akujanji BN pada PRU lalu dan jika kerajaan gagal melaksanakannya, sudah pasti akan memberi kesan nanti.

“Kami harap Belanjawan 2016 lalu bukanlah gula-gula untuk beri kegemberian kepada penduduk di sini,” katanya.

Tonton Video : “BAJET 2016- PROJEK BANDARAYA GETAH LONJAK PERTUMBUHAN EKONOMI KEDAH- MB [26 OKT 2015]”…

Sumber : Sinar Online