Sukan sea 2017 Archive

Kelantan timbang ganjaran atlet Sukan SEA

KERAJAAN Kelantan mengucapkan tahniah di atas kejayaan kontinjen negara yang berjaya meraih lebih daripada 111 pingat emas pada Kejohanan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kejayaan tersebut merupakan satu kebanggaan kepada rakyat yang perlu dipertahankan pada temasya akan datang.

Menurutnya walaupun Kelantan hanya menghantar beberapa atlet yang hanya berjaya mendapat pingat gangsa, namun ia juga mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Saya mengucapkan tahniah atas semangat kesukanan kepada semua atlet negara bukan sahaja yang mendapat emas tetapi semua yang terlibat dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur.

“Kita membawa pulang pingat emas yang banyak, cuma persoalannya ialah kita kena pertahankan kejayaan ini pada sukan SEA akan datang,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco hari ini.

Ditanya mengenai galakan atau penghargaan terhadap individu terlibat, beliau berkata kerajaan negeri sedang menimbangkannya.

Bagaimanapun katanya kerajaan negeri tidak memberi galakan kepada sukan yang bercanggah dengan syariat.

Sumber – HARAKAHDAILY 30/8/2017

Najib isytihar cuti umum 4 Sept

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengisytiharkan Isnin 4 September ini sebagai cuti khas kerana pencapaian Malaysia yang luar biasa pada temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017).

“Bukan senang nak bagi cuti sebab Malaysia sudah terlalu banyak cuti. Tetapi kerana pencapaian kita yang luar biasa, sokongan rakyat berbilang kaum yang padu, pencapaian para atlet yang cemerlang,

“Maka dengan ini bagi pihak kerajaan saya umumkan cuti umum pada 4 Sept,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Ambang Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini yang berlangsung sejurus selepas majlis penutupan rasmi KL2017.

Pengisytiharan itu disambut sorakan kegembiraan oleh ribuan penonton di stadium tersebut.

Sementara itu, Najib, dalam kenyataan mengenai perkara itu, berkata kerajaan memutuskan cuti umum itu sebagai menghargai pengorbanan atlet negara dan semua yang terlibat dalam menyemarakkan kecemerlangan negara sempena KL2017.

Ia juga, kata perdana menteri, sebagai menghargai sokongan tidak terhingga yang ditunjukkan seluruh rakyat Malaysia sepanjang penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.

Menurutnya, pengisytiharan cuti itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 bagi Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi Sabah dan Sarawak ia diselaras mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Malaysia muncul juara keseluruhan edisi temaya ke-29 sukan serantau itu dengan kutipan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa. – Bernama

Semangat hilang tanpa Ultras Malaya?

SORAKAN ‘We Are Thailand’! ternyata membangkitkan semangat pasukan Thailand dalam menyekat kemaraan pasukan tuan rumah, Malaysia.

Bermula tiupan wisel mula permainan, Ultras Thailand terus bersorak dengan tepukan dan nyanyian semangat untuk pasukan mereka.

Hujan yang membasahi Shah Alam tidak langsung mematahkan semangat ultras ‘Gajah Putih’ untuk memastikan pasukan mereka menjulang ibu segala pingat.

Bola sepak ternyata bukan sahaja mementingkan semangat, malah dilihat mampu menyatukan dari setiap pelosok tanpa mengira bangsa dan agama.

Bagaimanapun, perlawanan akhir yang dilihat mampu dimenangi Harimau Malaya itu terbantut. Biar pun menjadi tuan rumah dan dipenuhi ribuan penyokong keliling stadium, ia masih dilihat kurang memberi impak terhadap pemain.

Suasana di Stadium Shah Alam sepanjang perlawanan berlangsung.
Menjadi antara yang menyaksikan perlawanan akhir itu, kita tidak mahu untuk membicarakan di mana punca kekalahan Skuad Bawah 22 tahun (B-22) bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu.

Apa yang ingin katakan adalah hilangnya semangat dalam jiwa penonton yang sebelum ini dibaja dengan sorakan tanpa henti daripada Ultras Malaya.

Bagi anda yang berada di stadium pasti merasai apa yang saya rasakan. Kita sebagai penyokong kehilangan arah dalam memberi sorakan yang lazimnya diketuai Ultras Malaya.

Paling tidak pun kita hanya ‘mencuri’ bunyian gendang daripada Ultras Thailand untuk melaungkan laungan ‘Malaysia’.

Malah lagu Inilah Barisan Kita dan Warisan yang selalunya ‘synchronize’, rosak teruk dan tidak menimbulkan sebarang aura seperti menandingi apa dipersembahkan oleh penyokong ketika kehadiran Ultras Malaya. Lagu itu hanya kuat melalui pembesar suara.

Pastinya penyokong merasai ‘kehilangan’ Ultras Malaya yang sepatutnya menjadi pengibar semangat pasukan. Mungkin jika ada Ultras Malaya ditambah dengan suara 80,000 penyokong pasti perlawanan akhir itu berbeza.

Memang benar rakyat Malaysia berada di setiap sudut stadium, tetapi itu mungkin tidak mampu menyaingi keghairahan ultras Thailand yang cukup lengkap dengan gendang, bendera dan bersorak dengan penuh semangat, berani serta gagah. Ultras Thailand mungkin boleh diistilahkan bahawa ‘kami tidak ramai, tapi kami ada’.

Perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sepatutnya disajikan dengan sorakan Ultras Malaya.

Laporan media melaporkan, Ultras Malaya membuat pengumuman mengejut apabila memutuskan untuk memulaukan acara kemuncak berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dipetik daripada laman Facebook UM07’, keengganan mereka untuk ke stadium adalah sebagai langkah solidariti terhadap pemain ke-12 iaitu rakan-rakan penyokong yang tidak dapat membeli tiket perlawanan akhir itu.

“Isu penjualan tiket tidak bersistem ini bukan isu baharu dalam dunia bola sepak di Malaysia, baik di Liga-M (Piala Malaysia) atau perlawanan antarabangsa yang melibatkan pasukan negara bermain di separuh akhir atau perlawanan akhir, kekalutan akibat kelemahan sistem penjualan sering berlaku.

“Mereka yang mempunyai kuasa untuk mengubah harus sedar bahawa perubahan terhadap sistem itu perlu kerana jika tidak ia akan mendatangkan kerugian terhadap pasukan itu sendiri.

“Oleh sebab itu Ultras Malaya mengambil keputusan bersolidariti untuk semua pemain ke-12 yang bukan sahaja menjadi mangsa atas kelemahan ini di Sukan SEA saja tetapi bagi semua yang telah menjadi mangsa kerakusan ini dalam setiap kegagalan sistem jualan itu baik di Liga-M atau perlawanan lain,” jelas kenyataan itu.

Menurutnya, sampai bila isu tiket ini harus dihadapi pasukan penyokong.

Apa ditekankan di sini, siapa yang harus bertanggungjawab dengan kelemahan sistem penjualan tiket? Ternyata pihak yang menyedari akan hal ini perlu memainkan peranan penting bukan sahaja meningkatkan mutu permainan bola sepak negara, tetapi pengurusan termasuk di kalangan peminat mahu pun penyokong.

Seorang penyokong Malaysia, Shaiful Shukur Hamsari, 22, berkata, dia akui kesesakan bukan sahaja ketika hendak membeli tiket, malah ketika berbaris memasuki stadium.

“Apabila masalah ini timbul, pastinya banyak pihak akan menunding jari antara satu sama lain. Itu tuduh ini dan ini tuduh itu…pihak berwajib harus ambil serius perkara ini,” katanya.

Mengulas tentang pentingnya kehadiran Ultras Malaya untuk pasukan kebangsaan, Shaiful berkata, ia adalah sangat penting kerana ultras juga adalah pemain ke-12 dan banyak menyokong daripada belakang tidak kira ketika kalah atau menang.

“Kalah atau menang, mereka (ultras) tetap hadir. Ultras juga penting kerana chant mereka amat membantu pasukan ketika ketinggalan bagi menaikkan semangat,” katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, semalam, Harimau Malaya terpaksa akur tunduk 1-0 di tangan negara jiran, Thailand.

sumber : sinarharian.com

Berani Zainal nyanyi pasal korupsi, kata Adibah Noor

Kadang-kadang deria orang seni memang cepat mengesan sesuatu yang dipandang biasa bagi orang kebanyakan.

Apatah lagi apabila suasana dihangatkan dengan pelbagai hiburan yang mengasyikkan seperti dipersembahkan semasa majlis penutup rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) hari ini.

Justeru ketika jutaan orang berseronok menyaksikan persembahan ramai artis terkenal mendendangkan pelbagai lagu popular, pengacara, pelakon dan penyanyi Adibah Noor sempat mengusik.

Komen penyanyi Terlalu Istimewa itu muncul di Twitter semasa Datuk Zainal Abidin menyampaikan salah satu lagu ikonnya, Hijau, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Berani abang Zainal nyanyi pasal korupsi, opresi depan para pemimpin heheheh,” katanya.

Sebenarnya ungkapan itu adalah sebahagian daripada lirik lagu Hijau yang dirakam pada 1990 sebelum diterbitkan pada Mei 1991.

Dihasilkan oleh Mukhlis Nor, Hijau bercerita mengenai alam sekitar dan kemusnahan yang dilakukan manusia.

Antara lain liriknya ialah:
Bumiku yang kian pudar
siapa yang melihat
di kala kita tersedar
mungkinkah terlewat

Korupsi, oppressi, obsessi diri
polussi, depressi di bumi kini

Penyanyi dari pelbagai generasi memeriahkan majlis penutup malam ini. Antaranya ialah Amy Search, Datuk Sheila Majid, Salamiah Hassan, Datuk David Arumugam dan Man Bai.

Semakan Malaysiakini setakat 12.15 pagi ini, status Adibah itu diulang tweet hingga lebih 1,070 kali dan disukai sebanyak 854 pengguna Twitter.

Pengguna akaun NaufalKadir antaranya menyatakan memuji status Adibah itu.

“@adibahnoor Bahahahaha ni pecah perut u!!” tulisnya.

Manakala pengguna akaun Shahrulhaidi pula menyamakan tindakan itu berani sama seperti Datuk Siti.

“@adibahboor berani cam dato siti,” katanya.

Pelakon Sepet dan Aku Tak Bodoh itu juga bertanya mengapa lagu Cindai dan Lebih Indah tidak dinyanyikan oleh penyampai asalnya, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Sebaliknya lagu itu disampaikan juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana.

“Dua-dua lagu tokti (Siti) tapi bukan dia yang dijemput. Ko rasa?” katanya.

Korupsi menjadi antara isu utama dimainkan pengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang bakal berdepan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Najib bagaimanapun menafikan terlibat dalam sebarang salah laku atau penyelewengan, malah tidak beliau tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah setakat ini.

Pada masa sama Siti Nurhaliza sesekali dilihat lebih cenderung memihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri dan presiden Umno itu kini mengetuai pakatan pembangkang untuk menjatuhkan Najib.

Perdana menteri dan menteri kabinet adalah antara orang kenamaan yang menyaksikan persembahan penutup gilang-gemilang KL2017.

Malaysia menjadi juara keseluruhan dengan 145 pingat emas. Perdana menteri turut mengumumkan cuti khas pada Isnin 4 Sept ini sebagai menghargai pencapaian atlet negara.

Sumber : Malaysiakini

“10 kali saya selamatkan gol, orang takkan ingat…” – Haziq Nadzli

PENJAGA gol skuad bola sepak B-22 tahun negara, Haziq Nadzli, mengakui kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan akhir bola sepak lelaki Malaysia menentang Thailand malam tadi, bukan sesuatu yang disengajakan.

Menurut Haziq, dia bersedia untuk menerima kritikan daripada orang ramai mengenai kesilapan yang dilakukan itu dan berharap agar mereka bersedia untuk memaafkan kesalahan tersebut.

“Bola itu melencong ke dalam, saya nak tumbuk tetapi keadaan hujan menyebabkan saya tersilap ketika menumbuk keluar.

“Apa boleh buat, itu bukan rezeki saya, bukan saya sengaja. Kalau saya sengaja, tidak perlulah saya bermain.

“10 kali saya selamatkan gol, orang takkan ingat tetapi orang akan ingat sekali sahaja kesilapan saya.

“Siapa yang memberikan semangat kepada saya, terima kasih diucapkan. Siapa yang cakap macam-macam, itu hak mereka, saya tidak kisah,” katanya.

Pada perlawanan akhir semalam, Haziq telah menjaringkan gol sendiri sehingga menghadiahkan kemenangan 1-0 dan pingat emas buat Thailand dalam aksi final Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam.

Ia seakan mengulangi tragedi 2001, di mana kesilapan penjaga gol Malaysia, Kamarulzaman Hassan, menyaksikan skuad negara tewas di tangan Thailand di venue dan keputusan yang sama, 1-0 di Stadium Shah Alam.

Thailand mencatat hatrik emas kali ketiga berturut-turut Sukan SEA .

Biarpun pasukan negara dilihat lebih mendominasikan padang, namun ketiadaan penyudah menyebabkan gawang Thailand sukar dibolosi.

Sumber: Astro Arena