pru14 Archive

Anwar atau Mahathir mungkin U-Turn kepada Umno?

MAT Taib atau nama penuhnya Tan Sri Muhammad Bin Muhd Taib telah sah menyertai Umno semula.

Mat Taib & Najib Razak

Penyertaan semula dalam keadaan Umno begitu terdesak mendapatkan tokoh-tokoh, dan kembali menggunakan propaganda kemasukan ke dalam Umno sebagai strategi berdepan penurunan undi rakyat.

Maka gegak gempita sekali alam siber dan seluruh media online melaporkan kononnya Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran Parlimen, hingga lawatan kerja Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun disingkatkan.

Umpama “bullet” besar yang mahu dibidik Umno tatkala mengumumkan kemasukan semula Mat Taib atau Mike Tyson ini ke khemah lapuk Umno.

Rata rata netizen dan penggemar cerita hangat berteka teki, ada juga yang buat fitnah melulu kononnya Najib mahu umum kerjasama dengan PAS untuk merampas Selangor. Nakal dan jahat sekali fitnah di alam siber.

Tuduhan ini dinafi sekeras kerasnya oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir di laman Facebooknya dan kemudian mengecam tindakan mereka yang memfitnah itu.

Sementara beberapa lagi sanggahan juga dibuat atas tuduhan jahat itu.

Muhammad Taib dikenali suatu masa lalu dalam kes membawa jumlah wang yang besar ke luar negara dan kemudiannya “kantoi” .

Penyertaannya dalam PAS tidak pun menberi impak besar apatah lagi selepas itu beliau menyertai PKR bersama orang kuat Anwar Ibrahim iaitu Datuk Kamaruddin Jaffar yang pernah menjadi Pengarah Urusan Harakah dan Setiausaha Agung PAS.

Muhammad Taib juga diketahui agak rapat dengan Anwar Ibrahim, namun tidak serapat hubungan Anwar dengan Najib ketika dalam team Pemuda Umno suatu masa lalu.

Dari kiri, Mat Taib, Muhyiddin Yasin, Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamad, Najib Razak, Allahyarham Mohamad Rahmat

Ini menjadi sejarah, dan pastinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahu hubungan baik Najib Anwar sementelahan Zahid juga berada dalam pasukan yang sama.

Anwar Ibrahim & Zahid Hamidi

Begitu juga beberapa penghubung Anwar dengan Najib iaitu antaranya Datuk Johari Abdul orang kuat BTN suatu masa lalu dan tidak dinafikan Datuk Saifudin Nasution Ismail juga berperanan melalui abangnya yang menjadi orang kanan Najib iaitu Datuk Shahlan Ismail.

Johari Abdul
Saifuddin Nasution

Ingat sahaja pelan rekonsilasi nasional yang disebutkan dibincang antara Najib dan Anwar sebelum Pilihan Raya Umum 13 lalu di dedahkan sendiri oleh bekas bekas saksi kejadian.

Anwar Ibrahim dan Najib Razak minum teh.

Usah lah menuduh PAS mahu ber “UG” dengan Umno tatkala PAS berulang kali menyatakan tidak akan bersama dengan Umno.

Malah apa yang diperhatikan Umno sebenarnya lebih dekat parti Bersatu, PKR dasarnya tidak jauh berbanding Umno.

Tidak mustahil dalam keadaan terdesak mendepani politik Tun Mahathir dalam menjelang PRU 14 ini, Anwar akan dikembalikan ke dalam Umno semula oleh rangkaian yang disebutkan tadi.

Najib Razak, Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamad

Apatah lagi ia strategi yang paling ampuh untuk melumpuhkan PKR yang kini berpecah belah angkara beberapa pemimpin tidak sehaluan.

Dan tidak mustahil bagi Najib yang terdesak mempertahankan survival politiknya dengan membebaskan Anwar dari penjara, kemudiannya menjadikan Anwar sekutu rapatnya dalam mendepani PRU 14.

Apatah lagi dalam keadaan Pakatan Harapan sudah punah Harapan bagi Anwar untuk memujuk PAS bersama.

Sedang Anwar tahu hakikat bahawa undi Melayu juga boleh datang dengan jumlah besar dari PAS.

Ataupun Mahathir sendiri akan kembali kepada Umno selepas melihat PH yang dipimpinnya berantakan tidak keruan hala tuju, dengan sikap DAP yang semakin dominan ditambah Bersatu yang kian hilang punca apabila ramai pengasasnya keluar parti seperti Datuk Hamidah Othman.

Hamidah Osman

Ini sifir yang tidak boleh dinafikan kerana dalam politik apa juga boleh terjadi, apatah lagi Najib naik jadi PM ketika kempen Mahathir menjatuhkan Pak Lah berjaya dilaksana.

Hakikatnya PAS tidak berasa kehilangan Anwar ketika ini, apatah lagi kalau Mahathir ‘u turn’ kepada Umno.

Tetapi lebih terasa adalah penyokong Anwar dan Mahathir merasai kehilangan dan kekecewaan jika dua bekas orang kuat Umno kembali melutut ke dalam parti yang telah menjadikan mereka seteru politik.

Sumber – HARAKAHDAILY 20/9/2017
Tulisan : WAN NORDIN WAN YAACOB

Bubar Parlimen?..Sidang media khas Najib..

Bubar Parlimen?..Sidang media khas Najib..

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengadakan sidang media khas di Ibu pejabat UMNO di Tingkat 39, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang ini.

Semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO akan hadir pada sidang media khas pada jam 4.45 petang itu.

Malah, lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ke Perlis disingkatkan manakala majlis menteri berkenaan pada waktu itu dibatalkan.

Pihak media tidak dimaklumkan butiran sidang media itu.

Sumber : BH Online

Gagasan Sejahtera akan meriah selepas PRU14

ORANG bertanya jika PAS berjaya meraih 40 kerusi sasaran, dan tiada parti atau pakatan yang berjaya membentuk majoriti mudah 112 kerusi, PAS akan pilih untuk bersama siapa?

Masih terlalu awal untuk menjawab persoalan ini secara spesifik. Ia bergantung kepada rundingan nanti. Bergantung siapa yang boleh tawarkan kepada PAS peluang yang lebih baik untuk agenda yang PAS perjuangkan. Siapa yang lebih kecil ancamannya terhadap Islam dan kestabilan negara.

Bukan soalan PAS mahu bersama siapa yang patut ditanya, tetapi soalan sepatutnya adalah siapa yang sanggup bersama PAS? Kerana mengikut keadaan sekarang, BN dan PH yang terhegeh-hegeh mendekati PAS. Mereka keluar dan mengetuk pintu rumah PAS. Bukan PAS ke rumah mereka.

Kenapa perlu hadkan minda seolah PAS hanya punya dua pilihan jika berlaku situasi hung parliament; sama ada PAS menyertai BN atau PH. Sedangkan situasi yang sepatutnya berlaku adalah parti komponen BN atau PH yang menyertai Gagasan Sejahtera.

Mungkin dalam BN, ada parti yang boleh bersama agenda perjuangan PAS. Dalam PH juga mungkin ada. Tetapi oleh kerana dalam kedua gabungan tersebut ada juga yang tidak boleh bersama, maka merekalah sebenarnya yang harus buat pilihan sama ada nak kekal bersama pakatan mereka, ataupun keluar dan bersama Gagasan.

Waktu ini mungkin kita lihat Gagasan agak sepi. Kerana Gagasan bukan sebuah gabungan yang populis. Dalam diam, gagasan gigih bekerja merangka agenda pasca pilihan raya, untuk membina semula Malaysia mengikut dasar baharu yang sedang diteroka.

Tetapi percayalah, pasca pilihan raya, Gagasan akan jadi sangat meriah. Pakatan lain pula akan hidup segan mati tak mahu.

Apapun, ini semua cerita selepas pilihan raya. Adapun untuk menempuh pilihan raya ini, sudah ada keputusan muktamad. PAS tidak akan menyertai PH atau BN. Juga tidak ada sebarang kerjasama secara individual dengan DAP, dan semua parti yang bekerjasama dengan DAP.

Portal media tajaan parti lain usahlah bermain persepsi kononnya PAS masih terbuka untuk rundingan dengan parti lain. Jangan ada yang loyar buruk kononnya PAS cuma tak mahu bersama PH sahaja, tetapi bersama PKR secara individual masih boleh berlaku. Itu semua khalayan yang tidak akan berlaku. Presiden PAS sudah mengeluarkan kenyataan tegas:

“Tidak akan bekerjasama dengan DAP, dan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP!”

Sumber : Harakahdaily
oleh : ALANG IBN SHUKRIMUN

‘Pas tidak akan pusing balik pada PKR’ – Mohd Amar

KOTA BHARU – Pas mengulangi pendirian untuk tidak akan menjalinkan apa-apa hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan biasa dengan parti itu asalkan ia berkaitan kepentingan agama Islam.

“Tahaluf tiada, dulu sampai sekarang memang itu keputusannya. Tetapi kalau berbincang biasa, tidak menjadi masalah asalkan kepentingan Islam jadi agenda utama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Beliau mengulas mengenai tindakan PKR yang mahu ‘berbaik’ semula dengan Pas bagi berdepan PRU14.

Mohd Amar berkata, PKR juga sudah menampakkan perpecahan kepada dua kumpulan yang mana satu mahu bekerjasama dengan Pas, dan satu lagi sebaliknya.

Katanya, bagaimanapun Timbalan Menteri Besar itu tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut bagi menghormati masalah dalaman parti masing-masing.

Dalam perkembangan yang lain, Mohd Amar juga memberi amaran awal kepada Bersatu untuk sedar lebih awal mengenai tindakan DAP yang hanya mahu menjadikan parti-parti Pakatan Harapan sebagai kuda tunggangan parti anti Islam itu.

Sumber : Sinar Harian Online

Ya memang kami kemaruk kuasa: Mat Sabu

PETALING JAYA – Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu mengakui bahawa parti pimpinannya itu ‘kemaruk’ kuasa.

Ini jelasnya, sebagai sebuah parti yang bertanding dalam pilihan raya, sudah semestinya pihaknya mahu menang dalam sesuatu pertandingan pilihan raya yang diadakan.

 

“Memanglah. Kami nak ambil kuasa.”

“Tujuan pilihan raya kita bertanding kerana nak ambil kuasa. Bukan kita bertanding nak seronok,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Pakatan Harapan di Ibu pejabat Bersatu, di sini hari ini.

Katanya lagi, pihaknya juga mahu merampas kuasa daripada ‘orang gila kuasa’.

“Kita masuk pilihan raya sebab nak ambil kuasa, sebab kita nak rampas kuasa daripada orang gila,” katanya lagi yang mesra dipanggil Mat Sabu.

Konvensyen Amanah Selangor semalam meluluskan usul supaya Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menimbang semula kedudukan Pas di negeri itu.

Bagaimanapun, Pas hari ini membidas Amanah ‘kemaruk kuasa’, selepas parti serpihan Pas itu menggesa Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali menimbang semula kedudukannya dalam kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi turut mempersoalkan usul Amanah Selangor itu ketika tiada masalah dalam pentadbiran negeri.

“Bagi saya, itu bukan soal pilihan raya tetapi soal kemaruk kepada kuasa,” katanya petik laporan portal tempatan.

Terdahulu dalam sidang medianya, Mat Sabu menjelaskan bahawa Pakatan Harapan akan mengadakan satu Himpunan Rakyat ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi’ yang akan diadakan pada 14 Oktober ini, bertempat di Petaling Jaya.

Katanya, pelbagai acara lain turut disertakan dalam himpunan itu antaranya ceramah, persembahan kebudayaan dan lain.

Sumber : Sinar Harian Online