Politik Archive

BN : “Jangan dabik dada pelaburan AS di Selangor”…

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diingatkan tidak berdabik dada dengan ‘kebanjiran’ pelabur asing khususnya dari Amerika Syarikat (AS) yang membawa pelaburan berbilion ringgit ke negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif berkata, Mohamed Azmin perlu berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana pelaburan itu hasil daripada hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden AS, Donald Trump.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif bercakap kepada pemberita di bangunan DUN Selangor, Shah Alam, hari ini.

“Tidakkan Menteri Besar sedar bahawa hubungan baik Perdana Menteri dengan Presiden Amerika Donald Trump menyebabkan keharmonian dan keselesaan pelabur-pelabur dari Amerika datang ke sini.

“Kehadiran Perdana Menteri ke Amerika tidak melibatkan apa-apa belanja, yuran melobi dan sebagainya.

“Maknanya hasil daripada hubungan baik Perdana Menteri dengan Presiden Amerika menyebabkan ramai yang datang ke Malaysia ini termasuk juga Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan DUN Selangor, di sini, hari ini.

Shahrum juga menyifatkan Belanjawan Selangor 2018 sebagai bajet defisit susulan penyusutan pendapatan negeri yang kurang disasarkan oleh kerajaan negeri dan kebergantungan kepada hasil tanah.

“Kerajaan negeri masih mengekalkan bajet defisit yang tinggi, di mana kalau dibandingkan tahun lepas, bajet defisitnya lebih tinggi daripada tahun lepas.

“Jangan sesekali kerajaan negeri hanya mendabik dada dengan segala peruntukan yang diberikan, tetapi dalam masa sama mereka memperlekehkan peranan Kerajaan Persekutuan yang banyak memberi keutamaan kepada rakyat Selangor,” tegasnya.

Katanya lagi, walaupun Selangor diperintah Pakatan Harapan, namun Perdana Menteri tidak pernah menganaktirikan negeri ini malah bermurah hati memberikan peruntukan hingga berbilion ringgit.

“Kalau hari ini Kerajaan Selangor memperuntukkan belanja pembangunan RM1.66 bilion, tapi Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih daripada RM2 bilion untuk Selangor.

“Ini tidak termasuk projek-projek prasarana besar seperti MRT, HSR, LRT 3 dan banyak lagi yang rata-ratanya memberi manfaat besar kepada penduduk Selangor sendiri,” katanya lagi.

Sumber – MalaysiaGazette.

PAS Sasar Tanding 100 Kerusi Pada PRU14

KOTA BHARU, 8 Zulhijjah 1438H, Rabu – PAS bercadang bertanding lebih 100 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya kini sedang mengenalpasti kawasan Parlimen yang akan ditandingi.

Beliau berkata, sasaran itu dilakukan partinya melalui Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga.

“Kita sedang kenal pasti beberapa kawasan, mungkin lebih 100.

“Daripada dahulu lagi, kita ada gagasan ketiga, kita ada badan bukan kerajaan (NGO), parti politik bersama kita,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat EXCO negeri di sini, hari ini.

Pada PRU-13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan 236 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohd Amar berkata, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya menghadapi PRU-14 dan menjangka beberapa pertembungan berikutan hubungan parti itu dengan DAP sudah terputus.

PAKATAN HARAPAN TIDAK AKAN BEKERJASAMA DENGAN PAS DALAM PRU-14

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

Pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan berkenaan kerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah seperti berikut:

1) Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14); dan

2) Pakatan Harapan sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14.

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

YAB Lim Guan Eng
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

YBhg Hj Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

29 Ogos 2017

Pakatan pembangkang tanpa PAS akan kalah PRU-14

KUALA LUMPUR: Tanpa sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam, pakatan pembangkang akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, mendakwa 89 kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) adalah jumlah yang paling maksimum mampu dicapai pakatan pembangkang yang ada kini, jika mereka bergabung dengan PAS.

Katanya, jumlah itu mungkin akan berkurangan jika pakatan pembangkang tidak bekerjasama dengan PAS.

“Tiada kerusi lagi yang mampu ditambah pakatan pembangkang dan PAS, setelah sokongan pengundi bukan Melayu-Islam sampai ke tahap maksimum.

“Hanya satu cara saja lagi untuk pakatan pembangkang dan PAS boleh buat dengan memecah angka maksimum itu, iaitu dengan memperoleh majoriti sokongan pengundi Melayu-Islam,” katanya dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mengenai pengundi yang dikeluarkan baru-baru ini.

Hasil kajian, IDE mendapati kedudukan Kerajaan Negeri Selangor terus kukuh hasil kerjasama gabungan PKR, DAP, PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang membentuk Kerajaan Negeri ketika ini.

Kajian itu juga mendapati sokongan terhadap gabungan ini meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus pada Ogos 2016.

Mohd Zuhdi berkata, pihaknya menghormati hasil kajian IDE itu, namun mempunyai pandangan yang agak berbeza.

Katanya, sokongan terhadap pakatan pembangkang tidak mungkin boleh dicapai jika DAP dan PAN bersama gabungan itu kerana kedua-dua parti itu dilihat oleh masyarakat Melayu-Islam sebagai anti Melayu dan menentang agenda Islam.

“Kemasukan PPBM ke dalam pakatan pembangkang kini sememangnya boleh menambahkan peratus sokongan pengundi Melayu-Muslim, tetapi peratusnya sangat kecil.

“Kami menganggarkan peratus pengundi Melayu-Islam yang mampu ditarik oleh PPBM sekitar tujuh peratus saja. Sebaliknya kemasukan parti itu, yang dibarisi oleh golongan ultra-nasionalis Melayu termasuk ahli-ahli PERKASA, akan menyebabkan pengundi bukan Melayu-Islam lari dari pakatan berkenaan untuk mengundi Barisan Nasional (BN) semula.

“Hasilnya kemasukan PPBM tidak akan memberi nilai tambah untuk kemenangan pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau menjelaskan, fenomena pengundi bukan Melayu-Islam khususnya pengundi Cina, lari dari pakatan pembangkang setelah kemasukan golongan ultra-nasionalis Melayu PPBM, adalah suatu realiti yang sedang berlaku sekarang.

“Peralihan ini mula dilihat dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Berdasarkan tinjauan kami, peratusan pengundi Cina yang lari dari pakatan pembangkang sekarang adalah sekitar 25 peratus

“Oleh sebab itu, BN meraih sekitar 35 peratus pengundi Cina dan ini adalah satu lagi berita buruk kepada pakatan pembangkang, setelah mereka kehilangan pengundi PAS,” katanya.

Beliau turut menjangkakan gabungan pakatan pembangkang dan PAS adalah hampir mustahil boleh berlaku pada masa kini, kerana PAS sendiri sekarang mensasarkan untuk menafikan peluang DAP memerintah semula Pulau Pinang serta mengalahkan DAP di beberapa kerusi parlimen dan DUN yang mereka tandingi di Pahang, Perak dan Selangor.

“Oleh itu, sekiranya DAP dan PAN terus berada dalam pakatan pembangkang, tidak mungkin akan berlaku ‘electoral pack’ dengan PAS. Malah PAS, pula telah lama bersedia untuk bertanding tiga penjuru, dengan perancangan strategi dan kemantapan jentera.

Sementara itu, Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menegaskan jentera PAS tidak lagi akan menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR seperti yang berlaku dalam PRU-13.

Katanya, apabila DAP dan PKR memenangi PRU-13 dengan bantuan jentera dan undi PAS mereka telah menyerang pelbagai agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

“Justeru, PRU-14 ini jentera PAS akan fokus kemenangan menerusi Gagasan Rakyat dengan bersaing menentang UMNO/BN dan pakatan pembangkang untuk menang sekurang-kurangnya di lima negeri dan menjadi parti dominan memerintah di peringkat persekutuan.

“Pakatan pembangkang bukan masa depan bagi rakyat Malaysia. Perjuangan jangka pendek mereka hanya untuk menjatuhkan Najib bukannya menukar dasar pemerintahan BN yang telah sekian lama merosakkan negara.

“PAS tidak hanya mahu menukar kerajaan tetapi menukar dasar berkerajaan berasaskan prinsip Islam yang meletak aqidah dan akhlak sebagai asas, dosa pahala sebagai neraca pertimbangan, syariat Islam sebagai landasan berekonomi dan bersosial serta menolak monopoli ekonomi oleh segelintir elit pemerintah, nepotisme dan kronisme serta pemborosan dalam pengurusan kewangannya,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Terkini!!! PENDIRIAN BERHUBUNG PEMECATAN DARIPADA JAWATAN KETUA AMK KELANTAN

*KENYATAAN MEDIA*

*PENDIRIAN BERHUBUNG PEMECATAN DARIPADA JAWATAN KETUA AMK KELANTAN*

29 OGOS 2017

Saya telah menerima arahan pemecatan saya daripada jawatan Ketua AMK Kelantan menerusi pesanan aplikasi whatsapp YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK Pusat sebelum disusuli dengan surat rasmi yang juga dihantar melalui pesanan whatsapp.

Saya percaya, keputusan ini dibuat oleh YB Nik Nazmi secara unilateral tanpa melalui perbincangan yang sewajarnya :

1. Tanpa melalui mesyuarat Biro Politik AMK mahupun Mesyuarat MPP AMK Pusat yang telah tidak bersidang sejak bulan Mac 2017

2. Tanpa melalui proses konsultasi dengan Pengerusi MPN Kelantan sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan Tetap AMK.

Saya beranggapan, keputusan ini dibuat berdasarkan satu memorandum yang dibuat oleh beberapa kerat pimpinan AMK Kelantan yang tidak sah kerana tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan AMK Cabang. Berdasarkan keputusan AMK Pusat sebelum ini, saya telah melantik penaja-penaja baru bagi mengganti Ketua-Ketua AMK Cabang terbabit.

Antara kandungan memorandum tersebut adalah mempertikaikan pendirian AMK Kelantan di bawah kepimpinan saya yang meneruskan hubungan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS.

Saya ingin menegaskan bahawa pendirian AMK Kelantan adalah berdasarkan pendirian parti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Biro Politik pada 15 Ogos 2017 dan amanat langsung daripada Ketua Umum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama saya pada 12 Julai 2017 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Justeru saya berpandangan keputusan YB Nik Nazmi memecat saya daripada jawatan Ketua AMK Kelantan adalah tidak selari dengan hasrat dan keputusan parti serta bercanggah dengan arahan Ketua Umum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang meminta parti meneruskan rundingan dengan PAS.

Hal ini juga sangat bertentangan dengan semangat pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang tegas mempertahankan kerjasama dengan PAS dalam pentadbiran Kerajaan Negeri yang mana YB Nik Nazmi sendiri merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Saya akan segera bertemu dengan Ketua-Ketua AMK Cabang di seluruh Negeri Kelantan untuk merangka langkah seterusnya termasuk memperkukuhkan jentera parti menjelang PRU-14.

Saya akan terus berjuang untuk meletakkan KEADILAN di persada politik nasional tanpa jemu seperti mana dilaksanakan oleh Dato’ Seri Ketua Umum, YB Dato’ Seri Presiden dan YAB Dato’ Seri Timbalan Presiden serta terus komited memperkukuh KEADILAN di Negeri Kelantan dibawah Pimpinan Pengerusi Tuan Haji Ab. Aziz bin Kadir.

*DR. MOHD HAFIDZ RIZAL BIN AMRAN*