pakatan harapan Archive

[Video]…Selangor Bagi RM200 Sebulan Kepada Ibu-Ibu Dan Ini Antara Syarat-Syaratnya…

Golongan ibu menyambut baik insentif RM200 sebulan yang diberikan Kerajaan Negeri bagi mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah, bermula tahun 2018.

Bagi kerani akaun, Norfazilah Harun, 28, pemberian bantuan itu amat dinantikan kerana ia mampu meringankan bebannya dan keluarga terutama sebagai ibu yang bekerja serta berpendapatan rendah.

“Ini adalah peluang baik untuk golongan ibu bergaji rendah seperti saya kerana dengan bantuan itu boleh juga dibuat simpanan atau perbelanjaan anak yang tak mencukupi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Pengumuman itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menerusi inisiatif baharu yang diperkenalkan Kerajaan Negeri iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang akan memberdaya golongan ibu sebagai pengurus kewangan untuk keluarga masing-masing, di Selangor.

“Ia bagi membantu ibu daripada setiap keluarga atas segala pengorbanan dan perit jerih mereka khususnya berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah.

“Setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan,” katanya.

Selain itu, 30,000 ibu di negeri itu akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasaraya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti melalui Kad KISS,.

Sementara itu, guru tadika, Jaslina Harun, 36 berkata, bantuan itu dilihat sebagai penghargaan kepada peranan dan jasa ibu selama ini yang banyak membantu keluarga.

“Saya amat gembira dan bersyukur dengan bantuan ini serta bangga menjadi sebahagian daripada warga Selangor yang amat mementingkan golongan ibu,” katanya.

Tonton Video :

Ya memang kami kemaruk kuasa: Mat Sabu

PETALING JAYA – Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu mengakui bahawa parti pimpinannya itu ‘kemaruk’ kuasa.

Ini jelasnya, sebagai sebuah parti yang bertanding dalam pilihan raya, sudah semestinya pihaknya mahu menang dalam sesuatu pertandingan pilihan raya yang diadakan.

 

“Memanglah. Kami nak ambil kuasa.”

“Tujuan pilihan raya kita bertanding kerana nak ambil kuasa. Bukan kita bertanding nak seronok,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Pakatan Harapan di Ibu pejabat Bersatu, di sini hari ini.

Katanya lagi, pihaknya juga mahu merampas kuasa daripada ‘orang gila kuasa’.

“Kita masuk pilihan raya sebab nak ambil kuasa, sebab kita nak rampas kuasa daripada orang gila,” katanya lagi yang mesra dipanggil Mat Sabu.

Konvensyen Amanah Selangor semalam meluluskan usul supaya Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menimbang semula kedudukan Pas di negeri itu.

Bagaimanapun, Pas hari ini membidas Amanah ‘kemaruk kuasa’, selepas parti serpihan Pas itu menggesa Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali menimbang semula kedudukannya dalam kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi turut mempersoalkan usul Amanah Selangor itu ketika tiada masalah dalam pentadbiran negeri.

“Bagi saya, itu bukan soal pilihan raya tetapi soal kemaruk kepada kuasa,” katanya petik laporan portal tempatan.

Terdahulu dalam sidang medianya, Mat Sabu menjelaskan bahawa Pakatan Harapan akan mengadakan satu Himpunan Rakyat ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi’ yang akan diadakan pada 14 Oktober ini, bertempat di Petaling Jaya.

Katanya, pelbagai acara lain turut disertakan dalam himpunan itu antaranya ceramah, persembahan kebudayaan dan lain.

Sumber : Sinar Harian Online

“Tengoklah parti mana ke laut” – Nik Amar

TEMERLOH – Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah menolak kenyataan Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pilihan rakyat dalam PRU14 hanyalah BN dan Harapan.

Nik Mohd Amar berkata, perjuangan Pas sejak awal penubuhannya adalah untuk mendaulatkan Islam dalam pemerintahan negara dan PRU14 akan menjawab segala apa yang diperkatakan oleh pemimpin Harapan itu.

Nik Amar semasa melancarkan jentera pilihanraya PAS Temerloh

“Kita tengoklah parti mana yang ke Laut China Selatan selepas PRU nanti,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihan raya P088 Parlimen Temerloh, di sini kelmarin.

Menurutnya, Pas menawarkan pilihan kepada rakyat setelah BN dan Harapan diterajui oleh pemimpin yang berasal dari parti sama.

“Umno, BN kita dah tau sikap dan sifat pemimpinnya manakala pemimpin Harapan sememangnya kita sangat kenal kerana pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.”

“Rakyat kenal sangat pemimpin itu, justeru Pas menawarkan alternatif terbaik daripada parti-parti lain,” katanya.

Nik Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bagaimanapun mencadangkan Harapan supaya tidak bertanding di kerusi yang turut ditandingi Pas bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin dalam media berhubung pertembungan pada PRU akan datang menjadi pertempuran antara BN dan Harapan.

Katanya, tiada istilah parti yang ‘duduk di tengah-tengah’ kerana menurutnya, parti berkenaan akan hanyut ke dalam Laut China Selatan.

Sementara itu, difahamkan Parlimen Temerloh mempunyai tiga Dun iaitu Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan dan pada PRU13 lalu, Pas bertanding di Dun Kuala Semantan manakala Lanchang ditandingi PKR, DAP di Mentakab manakala parlimen ditandingi oleh Pas.

Pas Pahang sudah membuat keputusan akan bertanding di Dun Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan dalam PRU akan datang.

Sumber : Sinar Harian Online

PAKATAN HARAPAN TIDAK AKAN BEKERJASAMA DENGAN PAS DALAM PRU-14

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

Pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan berkenaan kerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah seperti berikut:

1) Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14); dan

2) Pakatan Harapan sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14.

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

YAB Lim Guan Eng
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

YBhg Hj Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

29 Ogos 2017

Pakatan pembangkang tanpa PAS akan kalah PRU-14

KUALA LUMPUR: Tanpa sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam, pakatan pembangkang akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, mendakwa 89 kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) adalah jumlah yang paling maksimum mampu dicapai pakatan pembangkang yang ada kini, jika mereka bergabung dengan PAS.

Katanya, jumlah itu mungkin akan berkurangan jika pakatan pembangkang tidak bekerjasama dengan PAS.

“Tiada kerusi lagi yang mampu ditambah pakatan pembangkang dan PAS, setelah sokongan pengundi bukan Melayu-Islam sampai ke tahap maksimum.

“Hanya satu cara saja lagi untuk pakatan pembangkang dan PAS boleh buat dengan memecah angka maksimum itu, iaitu dengan memperoleh majoriti sokongan pengundi Melayu-Islam,” katanya dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mengenai pengundi yang dikeluarkan baru-baru ini.

Hasil kajian, IDE mendapati kedudukan Kerajaan Negeri Selangor terus kukuh hasil kerjasama gabungan PKR, DAP, PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang membentuk Kerajaan Negeri ketika ini.

Kajian itu juga mendapati sokongan terhadap gabungan ini meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus pada Ogos 2016.

Mohd Zuhdi berkata, pihaknya menghormati hasil kajian IDE itu, namun mempunyai pandangan yang agak berbeza.

Katanya, sokongan terhadap pakatan pembangkang tidak mungkin boleh dicapai jika DAP dan PAN bersama gabungan itu kerana kedua-dua parti itu dilihat oleh masyarakat Melayu-Islam sebagai anti Melayu dan menentang agenda Islam.

“Kemasukan PPBM ke dalam pakatan pembangkang kini sememangnya boleh menambahkan peratus sokongan pengundi Melayu-Muslim, tetapi peratusnya sangat kecil.

“Kami menganggarkan peratus pengundi Melayu-Islam yang mampu ditarik oleh PPBM sekitar tujuh peratus saja. Sebaliknya kemasukan parti itu, yang dibarisi oleh golongan ultra-nasionalis Melayu termasuk ahli-ahli PERKASA, akan menyebabkan pengundi bukan Melayu-Islam lari dari pakatan berkenaan untuk mengundi Barisan Nasional (BN) semula.

“Hasilnya kemasukan PPBM tidak akan memberi nilai tambah untuk kemenangan pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau menjelaskan, fenomena pengundi bukan Melayu-Islam khususnya pengundi Cina, lari dari pakatan pembangkang setelah kemasukan golongan ultra-nasionalis Melayu PPBM, adalah suatu realiti yang sedang berlaku sekarang.

“Peralihan ini mula dilihat dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Berdasarkan tinjauan kami, peratusan pengundi Cina yang lari dari pakatan pembangkang sekarang adalah sekitar 25 peratus

“Oleh sebab itu, BN meraih sekitar 35 peratus pengundi Cina dan ini adalah satu lagi berita buruk kepada pakatan pembangkang, setelah mereka kehilangan pengundi PAS,” katanya.

Beliau turut menjangkakan gabungan pakatan pembangkang dan PAS adalah hampir mustahil boleh berlaku pada masa kini, kerana PAS sendiri sekarang mensasarkan untuk menafikan peluang DAP memerintah semula Pulau Pinang serta mengalahkan DAP di beberapa kerusi parlimen dan DUN yang mereka tandingi di Pahang, Perak dan Selangor.

“Oleh itu, sekiranya DAP dan PAN terus berada dalam pakatan pembangkang, tidak mungkin akan berlaku ‘electoral pack’ dengan PAS. Malah PAS, pula telah lama bersedia untuk bertanding tiga penjuru, dengan perancangan strategi dan kemantapan jentera.

Sementara itu, Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menegaskan jentera PAS tidak lagi akan menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR seperti yang berlaku dalam PRU-13.

Katanya, apabila DAP dan PKR memenangi PRU-13 dengan bantuan jentera dan undi PAS mereka telah menyerang pelbagai agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

“Justeru, PRU-14 ini jentera PAS akan fokus kemenangan menerusi Gagasan Rakyat dengan bersaing menentang UMNO/BN dan pakatan pembangkang untuk menang sekurang-kurangnya di lima negeri dan menjadi parti dominan memerintah di peringkat persekutuan.

“Pakatan pembangkang bukan masa depan bagi rakyat Malaysia. Perjuangan jangka pendek mereka hanya untuk menjatuhkan Najib bukannya menukar dasar pemerintahan BN yang telah sekian lama merosakkan negara.

“PAS tidak hanya mahu menukar kerajaan tetapi menukar dasar berkerajaan berasaskan prinsip Islam yang meletak aqidah dan akhlak sebagai asas, dosa pahala sebagai neraca pertimbangan, syariat Islam sebagai landasan berekonomi dan bersosial serta menolak monopoli ekonomi oleh segelintir elit pemerintah, nepotisme dan kronisme serta pemborosan dalam pengurusan kewangannya,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online