Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Archive

Terkini Kes Bakar Tahfiz Ittifaqiyah : “Remaja Dilepas, Dibebaskan Tuduhan Dadah”…

Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melepas dan membebaskan seorang lagi remaja lelaki yang sebelum ini ditahan berhubung kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, daripada tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat.

Majistret Umzarul An Nur Umar membuat keputusan itu terhadap Mohamad Shahrul Nizam Ikmal Shafi-in, 18, selepas pihak pendakwaan menarik balik tuduhan berikutan laporan patologi dari Makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan bacaan negatif.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Shahrul didakwa atas dua tuduhan memasukkan dadah ganja dan syabu ke dalam badan di tandas Pejabat Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, jam 11.35 pagi, pada 16 September lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa, manakala peguam Ram Karpal Singh bertindak mewakili tertuduh.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi, pada 14 September lalu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah : “SATU MALAYSIA TERKEJUT, Inilah hukuman TERDAHSYAT Yang Bakal Ditanggung Oleh Suspek Bakar Sekolah Tahfiz!”…

KUALA LUMPUR: Suspek yang berumur di bawah 18 tahun bagi kes 23 orang terkorban dalam kebakaran pusat tahfiz di sini Khamis lepas, tidak boleh dijatuhkan hukuman mati sekiranya mereka disabit bersalah dalam kes itu.

Datuk Seri Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ini kerana Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjelaskan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri.

Di samping itu, Seksyen 94 akta yang sama, memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan insiden itu, tujuh remaja berumur antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Azalina, ketika ini kesemua suspek masih ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Pada awal pagi Khamis lalu, 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah maut selepas terperangkap dalam kebakaran di asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat berkenaan.

Azalina berkata tiada mana-mana individu boleh mengatasi undang-undang dan suspek berkenaan akan diadili mengikut undang-undang sedia ada.

Beliau berharap insiden berkenaan dijadikan pengajaran kepada semua pihak khususnya ibu bapa dalam membendung kes-kes jenayah yang membabitkan kanak-kanak.

Menteri itu turut meminta semua pihak berhenti membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Saya percaya kes ini akan diadili sebaik mungkin setelah dibawa ke mahkamah nanti,” katanya.

Anda Pasti Terkejut Dengan Jumlah Derma Yang Disalurkan Kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Ini

Jumlah Derma Setakat Ini

Rakyat Malaysia telah menyalurkan derma sebanyak RM7.6 juta kepada keluarga 23 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada bulan lepas.

Mengikut prosedur, duit hasil derma itu akan diserahkan kepada keluarga mangsa sebaik sahaja proses audit selesai.

Ini sekaligus menepis tohmahan bahawa pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran iaitu Mohd Zaid Mahmood yang sebelum ini didakwa menyeleweng wang derma tersebut.

Dakwaan tersebut sedikit sebanyak dikaitkan setelah keluarga mangsa dilaporkan tidak berpuas hati dengan pengurusan pusat tahfiz itu gara-gara tidak memberi perhatian kepada mereka setelah tragedi kebakaran yang meragut 21 orang murid dan 2 orang warden itu.

Sehubungan dengan itu, Exco Yayasan Waqaf Malaysia, Mohd Asraf Safwan Kamaruzaman mencadangkan supaya Tabung Wakaf Pinta diwujudkan agar pengagihan derma yang lebih sistematik dapat dilakukan.

Tidak dapat dinafikan, rakyat Malaysia sememangnya bermurah hati untuk menderma tetapi tidak dapat berbuat demikian selagi nombor akaun pusat tahfiz tidak diviralkan dan dihebahkan kepada orang ramai.

Dengan penubuhan Tabung Wakaf Pinta, duit hasil derma tersebut akan disalurkan ke dalam sebuah akaun dan jawatankuasa yang diberi amanah akan mengagihkan wang tersebut menurut keperluan sesebuah pusat tahfiz sekiranya berlaku kecemasan dan tragedi yang tidak diingini.

Sementara itu, 6 daripada 7 suspek yang ditangkap kerana membakar pusat tahfiz itu telah didapati bersalah dengan 2 orang disabitkan kesalahan membunuh manakala 4 orang lagi bersalah kerana penyalahgunaan dadah.

Lagi seorang suspek pula dibebaskan kerana kekurangan bukti kukuh. Mereka didapati positif dadah semasa melakukan jenayah itu termasuklah dadah jenis ganja dan methamphetamine, menurut laporan pendakwaan.

Mahkamah telah menetapkan tarikh 28 November ini untuk perbicaraan seterusnya.

Sumber : The Malaysian Insight

“BAKAR TAHFIZ” : HANYA 2 ORANG SAJA TERLIBAT, 5 LAGI TERLEPAS TUDUHAN MEMBUNUH

Hanya dua orang sahaja daripada tujuh suspek yang ditangkap berhubung kes membakar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, akan didakwa di mahkamah esok.

Dua didakwa atas kesalahan membunuh dan khianat dengan api, dan lima lagi atas kesalahan lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kes tersebut sudah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara dan polis menerima arahan untuk mendakwa mereka.

“Dua daripada suspek akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.

“Enam suspek (termasuk seorang yang disabit membunuh) akan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) atas Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pada sidang media di Bukit Aman, tidak semua daripada tujuk suspek tersebut akan didakwa.

“Mereka yang tidak terlibat secara langsung akan didakwa atas kesalahan melibatkan dadah dan mungkin akan dipanggil sebagai saksi kejadian.”

“Ada yang tidak terlibat secara aktif, contohnya mereka berada di lokasi kejadian atau berada ketika perbincangan.

“Namun kami akan pastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang tidak terlibat secara aktif ini mengikut seksyen lain seperti (kesalahan) dadah atau lain-lain,” katanya.

Ditanya mengenai proses pengumpulan bahan bukti kejadian yang menarik perhatian ramai itu, Noor Rashid berkata pihaknya akan cuba sedaya upaya mengumpul lagi bahan bukti untuk mengukuhkan kes pendakwaan.

“Selagi ada ruang polis akan ambil tindakan dan teruskan siasatan jika ada petunjuk baharu,” katanya.

Katanya, polis turut menjalankan siasatan bagaimana fakta kes dan maklumat peribadi suspek boleh tersebar kepada orang awam dan dimuat naik ke laman sosial.

Susulan kejadian itu, 13 pegawai polis dipanggil untuk siasatan.

Noor Rashid berkata, terdapat keperluan dalam meningkatkan kefahaman anggota polis mengenai isu kerahsiaan agar perkara sama tidak berulang.

Menurutnya lagi, insiden berkenaan turut memberikan sedikit gangguan kepada proses siasatan.

Pada 16 September, tujuh remaja berumur antara 11 hingga 18 tahun ditahan kerana menyebabkan kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden asrama tahfiz.

Enam daripada suspek disahkan positif ganja.

Sumber : Mstar, Malaysiakini

Walaupun Bersalah Kerana Membunuh, Pesalah Kanak-Kanak Tidak Boleh Dihukum Mati.

Pesalah kanak-kanak jika didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh tidak boleh dihukum mati tetapi diletakkan dalam tahanan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, tempoh tahanan itu pula tertakluk kepada Ahli Lembaga Pelawat yang dilantik khas bagi memantau perkembangan tingkah laku pesalah.

Satu keburukan hukuman itu ialah kita tidak tahu tempoh tahanan berapa lama kerana tertakluk kepada budi bicara Ahli Lembaga Pelawat yang menilai mereka sepanjang tahanan sebelum mencadangkan pembebasan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Perlu diingat, pesalah kanak-kanak di bawah 18 tahun tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.”

“Mereka tidak dipanggil orang kena tuduh (OKT) atau perkataan sabit (didapati bersalah) dan walaupun ada kesalahan jenayah tidak boleh dikira sebagai rekod jenayah tidak seperti pesalah dewasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, perbicaraan bagi pesalah kanak-kanak mempunyai dua cara sama ada didakwa di Mahkamah Tinggi dengan menggunakan prosedur Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mahupun dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

“Prosedur perbicaraan juga berbeza dari mahkamah biasa iaitu perlu ada seorang hakim yang layak serta dua orang rakyat biasa dengan salah seorang daripada mereka adalah wanita. “Paling penting segala maklumat peribadi pesalah termasuk nama dan gambar tidak boleh disiarkan kerana melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, menurut Peguambela dan Peguamcara Muhammad Akram Abdul Aziz walaupun pihak polis membuat siasatan di bawah seksyen tertentu atau memberikan saranan untuk suspek didakwa di bawah seksyen tertentu, pihak pendakwa raya adalah pihak yang berkuasa membuat keputusan.

“Pihak pendakwa raya yang mempunyai kata putus (setelah meneliti kertas siasatan) untuk memilih sama ada membuat dakwaan mengikut saranan polis atau memilih untuk mendakwa di bawah seksyen lain yang mereka rasakan lebih kukuh buktinya.

“Adakalanya mereka akan meminta pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut untuk memastikan bukti lebih kukuh atau tidak membuat apa-apa dakwaan jika tiada bukti,” katanya. Menurutnya, bagi kes membabitkan remaja atau kanak-kanak di bawah 18 tahun, ada perbezaan dari prosedur perbicaraan biasa.

“Secara amnya, pihak berkaitan akan mengikut prosedur ditetapkan di bawah Seksyen 90 Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca sekali dengan Seksyen 83 di bawah akta sama. “Jika yang dituduh itu kanak-kanak, mereka akan didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, namun jika usianya mencecah 18 tahun, pesalah akan menjalani proses pendakwaan di mahkamah biasa,” katanya.

Katanya, dari segi hukuman pesalah kanak-kanak juga berbeza apabila Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan golongan itu tidak boleh dihukum gantung sampai mati.

“Walaupun kanak-kanak itu boleh didakwa (secara teorinya) di bawah Seksyen 302, tapi jika dibuktikan bersalah, mereka tidak akan dihukum gantung,” katanya.

Sumber : Harian Metro