keluarga Archive

Sedih : “Saya amat kesal dengan sikap keluarga tunang, perlukah saya teruskan atau putus pertunangan?”…

Saya telah bertunang selama 11 bulan tetapi ada sedikit masalah timbul apabila seorang perempuan ini telah mengandung anak luar nikah.

Dipendekkan cerita, perempuan ini merupakan kekasih lama abang kepada tunang saya. Adik beradik tunang saya ada empat orang lelaki dan tunang saya merupakan anak keempat. Perempuan ini pernah mengenali keluarga tunang sebenar kehadiran saya.

Yang menjadi masalahnya sekarang ialah, perempuan ini mengandungkan anak orang lain dan menuduh abang tunang adalah puncanya. Sedangkan sudah lama terputus hubungan. Keluarga perempuan itu menyalahkan keluarga mereka.

Selepas masing-masing berbincang, abang tunang saya bersetuju untuk menjadi pak sanggup dan bertanggungjawab di atas segala yang terjadi serta ibunya mengambil keputusan untuk menjaga perempuan itu di rumahnya.

Dalam tempoh masa menjaga perempuan itu, saya banyak kali makan hati. Mana tidaknya, ibu kepada perempuan itu datang ke rumah, ada saja ibu kepada tunang meminta tunang saya pergi ke pasar membeli makanan. Sedangkan ada abang dan adik beradiknya yang lain. Seolah-olah perempuan itu pula yang berkahwin dengan tunang saya. Dengan mak saya sendiri pun tak dilayan seperti itu dan sudah tiga kali perkara yang sama berlaku.

Selepas beberapa bulan, si perempuan itu naik lemak dan meminta tolong tunang saya belikan susu dan juga nasi lemak disebabkan dia mengidam. Walhal abangnya yang sepatutnya bertanggungjawab ada di rumah. Sungguh melampau bila perempuan itu suruh tunang saya buat itu, buat ini.

Tambah lagi, ada seorang kawan yang tak bekerja lagi datang duduk sekali dengan keluarganya, dah empat bulan menganggur. Bukan tak dapat kerja tetapi memilih kerja. Dalam masa yang sama si kawan juga bawa kekasihnya melepak bersama-sama di rumah keluarga tunang sehingga barang dapur selalu habis. Apa yang dimasak tak dimakan, tapi barang yang tak disentuh lagi dihabiskan.

Saya amat kesal dengan sikap keluarga tunang. Bila hujung bulan, keluarga akan meminta tunang saya berikan duit untuk membeli barang dapur. Sehingga hari perempuan yang mengandung itu bersalin dan meminta tunang saya menanggung kos rawatannya di hospital. Sedangkan ibu dan bapa perempuan itu masih hidup lagi.

Yang membuatkan saya paling sakit hati apabila ibu si tunang meminta RM5,000 untuk buat perkahwinan abangnya dari duit simpanan perkahwinan kami yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya sangat kecewa dan kesal dengan apa yang terjadi sekarang. Bagi saya keluarganya mementingkan orang lain daripada dengan orang yang ada ikatan sampai masa waktu susah pun minta bantuan dari tunang.

Memang niat keluarganya baik tetapi perlu difikirkan dulu kemampuan masing-masing. Saya risau sekiranya sudah berkahwin kelak, apakah keadaan masih akan sama di mana mereka semua bergantung dengan tunang saya? Apakah ini yang dinamakan dugaan bertunang atau saya perlu buat keputusan untuk pilih mana yang terbaik? Saya minta pendapat daripada semua.

Sumber : the reporter

KELUARGA : “Sampai Rumah Bukannya Nak Peluk Isteri & Anak2, Tapi Mengadap Telefon Sampai Tertidur…Inilah Kesilapan Ketua Keluarga!!!”…

Tidak tahu di manakah salah dan silapnya apabila baru sahaja berkahwin terus ada masalah yang membabitkan rumah tangga. Apabila pasangan ingin cuba membetulkan keadaan, masing-masing mula meninggikan suara dan masing-masing menegakkan benang yang basah.

Akhirnya, si anaklah yang menjadi penonton setia ketika suami dan isteri itu bertengkar sehingga anak menjadi ketakutan dek kerana pergaduhan tersebut. Allah, sesungguhnya, teramatlah ruginya sekiranya anda suami isteri masih lagi tidak sedar akan silap diri sendiri.

Sebagai renungan dan pengajaran, bacalah perkongsian dari Ustaz Ebit Liew ini, mungkin anda suami dan isteri akan mendapat sesuatu yang sangat baik untuk dijadikan panduan dalam kehidupan berumahtangga sebagai seorang suami dan juga seorang isteri yang baik, insha Allah.

Gambar Hiasan

Ya Allah berilah setiap lelaki dapat jadi orang Islam yang baik. Ketua keluarga yang bertanggungjawab. Zaman ini kita lelaki tak sedar isteri dan anak-anak ialah amanah Allah yang besar untuk kita pimpin masuk syurga..kasihan wanita dan anak-anak. Islam datang nasib wanita terbela. Darjat wanita ditinggikan. Sehinggakan beza seseorang dengan yang lain ialah takwa.

Muhasabah buat saya dan ketua keluarga. Kesilapan kita sebagai ketua keluarga. Marilah kita perbaiki diri kita supaya Allah sayang kita. Hanya untuk Allah sayang.

  • Suami balik kerja terus keluar tak sampai 30 minit terus keluar rumah main bola, berbual dengan kawan-kawan, lepak sampai lewat pagi. Ada yang 3 dan 4 pagi baru balik rumah. Ya Allah sedihnya…
  • Suami masuk rumah tak peluk isteri dan anak-anak yang merinduinya, terlupa beri salam, pegang hp dan hadap hp sampai pecah hp.
  • Badan di rumah tetapi hati tiada di rumah. Isteri anak bercakap tak pandang muka mereka. Pandang muka keluarga ketika bercakap sunnah Nabi saw..mata dekat hp jer..
Gambar Hiasan
  • Suami langsung tak bantu isteri. Biar isteri masak seorang diri. Biar isteri basuh baju dan lipat baju seorang diri. Anak dah ramai tetapi langsung tak kisahkan anak-anak. Tak tolong mandi dan uruskan anak-anak…
  • Suami tak faham hati isteri. Tak buat kejutan buat mereka. Tak sentuh tangan mereka. Tak peluk mereka dari belakang. Tiada ucapan cinta dan sayang lagi..
  • Suami sibuk dengan kawan, tengok tv, main hp walau waktu malam sepatutnya tidur disebelah isteri tercinta.
  • Suami kasar bercakap melukakan hati isteri. Baran tak menentu dengan isteri dan anak-anak. Jadi boss besar semua order jer sampai. Tersilap atau terlambat marah. Tiada lagi erti sebuah keluarga.
  • Tak pernah ajak solat tahajud berjemaah. Tidak jadi imam. Tak pernah ajak buat Ta’lim rumah.
  • Love till jannah. Tapi tak tak pernah dengar fatihah isteri. Tak pernah cek wuduk isteri. Tidak ada suasana nasihat menasihati. Bagaimana ketua boleh jadi baik tanpa nasihat.
  • Ukuran bahagia nama Allah yang disebut. Lagi banyak nama Allah disebut lagi bahagia. Kini banyak rumah sepi dari nama Allah. Di mana bahagia?
  • Tak menjadi motivator buat anak-anak. Sebagai ketua tak hargai orang yang berjuang buat kita.
  • Kedekut dengan isteri. Ada suami beli motor besar. Kereta besar. Tapi tak tanya isteri apa dia nak. Langsung tak beri duit belanja buat mereka. Nak beli pencuci muka pun takde.
Gambar Hiasan
  • Pakai duit isteri. Terlupa isteri cuma membantu. Beri nafkah tugas kita lelaki, mereka bukan bibik atau orang gaji. Mereka bidadari yang akan bersama kita dalam syurga. Berilah masa untuk mereka. Hargai mereka.
  • Suami tak bawa isteri berjuang di jalan Allah dan belajar ilmu. Sehingga isteri tiada fikir agama. Risau akhirat.

‘Setiap pemimpin akan ditanya atas apa yang dipimpinnya’

Ya Allah tiada daya upaya kami melainkan dengan pertolonganMu. Pilihlah setiap lelaki dapat belajar iman. Berjuang dijalanMu. Bantulah kami dalam membimbing keluarga kami…

Sumber : Mingguan Wanita

Suami kena selalu peluk isteri, ucap ‘terima kasih sayang lahirkan anak kita’

Pengorbanan seorang ibu melahirkan anak tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Oleh itu suami perlu menghargai isteri mereka dari awal sehingga lahirnya zuriat kita di dunia. Di saat itu, bermulalah tanggungjawab lelaki bergelar suami dan bapa dalam menjaga si ibu dan bayi. Semoga perkongsian dari Encik Matt ini bermanfaat.

MEMANG suami perlu banyak bersama isteri di awal berpantang dan penyusuan. Bukan soal luka bersalin, luka ini akan baik dengan sendiri. Tetapi suami bantu jaga isteri agar emosinya tidak terganggu dan semakin teruk.

  • Bantu isteri ke tandas
  • Bantu isteri banyakkan berjalan
  • Bantu isteri susukan anak
  • Bantu isteri tukar lampin anak
  • Bantu isteri mandi, buang air
  • Bantu isteri makan dan masakkan untuk si dia

Sebenarnya ini amalan mak ayah tok nenek kita dahulu. Ayah kita dulu jaga semua adik beradik 12 orang, sentiasa bantu mak sehinggakan suapkan makanan. Ini sifat kasih sayang mak ayah kita didik dan tunjuk kepada kita supaya sayang isteri lebih dari diri sendiri.

APA PERLU SUAMI BUAT?

DAPATKAN :

  1. Ikan yang segar
  2. Sayuran kampong
  3. Ayam kampong
  4. Telor ayam kampong
  5. Daging lembu segar
  6. Pantau luka
  7. Bantu isteri bergerak, berjalan terutama ke tandas. Jangan biarkan mereka terbaring sahaja. Berjalan atau bergerak boleh bantu lancarkan darah dan elakkan DVT (darah beku disalur darah)
  8. Pastikan isteri minum air mineral dengan cukup

AMBIL TAHU :

  • ILMU PENYUSUAN, cari posisi bayi ketika menyusu
  • Amalan @ pantang larang ketika isteri berpantang
  • Ingatkan isteri makan ubat yang disediakan oleh doktor
  • Jadual pemeriksaan bayi dan ibu di klinik
  • Basic urutan untuk ibu berpantang
    Cara berbedong/bekong
  • Jamu/vitamin/ubatan untuk ibu berpantang dan selepas

Suami kena selalu peluk isteri, ucap terima kasih sayang lahirkan anak kita, terima kasih sebab sabar menahan sakit. Kucup dahi isteri. I love sayang, abang sayang sayang, lemparkan senyuman sehingga cecah telinga dan doa depan isteri.

“Ya Allah ini isteri saya, berikan dia syurga, berikanlah dia ganjaran pahala, berikanlah dia kesihatan yang baik, jauhkan dia dari segala penyakit..”

Suami wajib doa untuk isteri, ucap kata yang baik, tanya ada apa yang boleh kita bantu isteri. Insyaallah jika kita (suami) sering ucap perkataan yang baik-baik isteri akan seronok, isteri akan tenang.

Dan suami juga perlu faham tanda-tanda isteri melalui fasa post-portum period. Jika ada tanda selalu menangis, termenung, tiba-tiba pukul anak ini perlu dirujuk ke hospital atau dapatkan nasihat doktor.

Mudahan berkat kasih sayang suami isteri lahirnya anak soleh solehah.

Sumber: Muhammad Ahmad
Via : thereporter

Gambar Lelaki Ini Peluk Erat Ayahnya Di Dalam Kereta Api Sentuh Hati Netizen

Satu gambar yang terlihat seorang anak sedang memeluk bapanya telah menyentuh hati netizen dengan tular di laman sosial minggu lalu.

Gambar yang mempunyai dua situasi itu telah dirakam oleh Restoris A Fatiha ketika menaiki keretapi Prameks dalam perjalanan ke Kutuarjo-Solo pada 6.20 petang (waktu tempatan), 18 Oktober lalu.

Kisah itu turut dikongsi 5,075 pengguna dan lebih 1,000 komen dari pengguna laman sosial.

Dalam ruangan Facebooknya tertulis, gambar ini dirakam pada 18 Oktober pada sekitar 6.20 petang. Saya lihat sesuatu yang membuatkan saya terus merindui ibu bapa, hati tersentuh dan mahu mengeluarkan air mata.

“Satu perbuatan yang kelihatan sederhana tetapi sangat bermakna untuk tontonan semua.

“Pertamanya saya melihat lelaki berusia sekitar 50-an duduk bersama bapanya yang mungkin berusia 75-80 tahun.

“Beberapa saat ketika bapanya mahu menukar posisi duduknya dan bersandar pada badan anaknya yang ketika itu sedang menerima panggilan telefon.

“Anak lelakinya itu kemudian menukar telefon kepada tangan kanannya sebelum tangan kiri merangkul bapanya.

“Situasi ini walaupun nampak mudah tetapi menggerakkan hati kita sebagai seorang anak untuk menyayangi ibu bapa kita walaupun dengan cara yang mudah,” tulisnya.

Sementara itu, di kerusi sebelah pula kelihatan datuk dan nenek sedang mengambil gambar ‘wefie’ bersama cucunya.

Yang sebelah gambarnya pula adalah datuk nenek dengan cucu. Keadaan untuk mengingatkan seorang kanak-kanak untuk sentiasa mencintai dan mengasihi ibu bapa kita dengan cara yang mudah,” katanya.

Sumber :  Restoris A. Fatiha

8 Nasihat Rasulullah S.A.W Buat Anda Yang Bergelar Suami

Kaum adam, khususnya ‘suami’ adalah individu penting dalam sesebuah keluarga. Mereka diibaratkan seperti nakhoda yang mengemudi kapal di lautan serta bertanggungjawab terhadap keselamatan kesemua anak kapal yang berada di bawah seliaannya.

Gambar Hiasan..Carian Google..

Sudah tentu, sebelum pelayaran dimulakan segala persiapan harus dilakukan dengan terperinci. Keadaan kapal yang bakal memuatkan anak kapal haruslah diperiksa.

Faktor cuaca, suhu sekeliling, tiupan angin, keadaan laut ketika itu juga perlu diteliti bagi memastikan perjalanan bagi mengemudi kapal tersebut tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Peri penting dan besarnya tugas yang digalas oleh nakhoda kapal bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Begitu juga peranan serta tanggungjawab para suami dalam mengemudi bahtera keluarganya.

Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W ada menasihatkan para suami tentang beberapa perkara. Antaranya seperti berikut;

#1 – Tidak Membenci Pasangan Yang Beriman

Dalam melayari alam rumahtangga, sudah pasti ada beberapa perkara yang kadang membangkitkan emosi atau ego antara kedua pasangan, terutama daripada pihak suami.

Masing-masing mahu mempertahankan pandangan sehingga kadang ‘terbenci’ dengan sikap pasangan yang tidak mahu menyokong pandangannya. Justeru, dalam hal ini beringatlah akan sabda Rasulullah S.A.W, Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Janganlah seorang mukmin membenci wanita yang beriman. Jika dia membenci salah satu perangainya, maka masih ada perangai lain yang menyenangkannya.”
Hadis Riwayat Muslim

Walaupun ada satu sikap isteri yang kurang disenangi oleh para suami, ingatlah ada sikap lain yang lebih baik padanya. Ini kerana boleh jadi kita membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagi diri kita.

#2 – Menghormati Kaum Wanita

Muawiyah R.A berkata;

“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, ‘Apakah hak isteri terhadap suaminya?’ Rasulullah S.A.W menjawab, ‘Memberi makan jika kamu makan, memberi pakaian jika kamu berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menghina dan tidak pula meninggalkan isteri melainkan dia tetap berada di rumahnya’.”
Hadis Riwayat Abu Daud

Dalam konteks ‘menghormati’ kaum wanita ini bukanlah bermaksud para suami perlu menjadi ‘hamba’ kepada pasangannya. Tidak sama sekali. Hadis ini merupakan panduan buat para suami supaya tidak mensia-siakan kaum wanita terutama para isteri.

Tahukah kita, Rasulullah S.A.W amat menghormati dan melayani para isterinya dengan cara yang cukup mulia.

#3 – Memaklumkan Kepulangan Kepada Isteri Di Rumah

Anas r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Janganlah kalian mengetuk pintu isterimu di malam hari.”
Dalam riwayat lain, Rasulullah S.A.W menegaskan larangan tersebut supaya para isteri yang ditinggalkan itu dapat membuat persiapan dengan merapikan dirinya bagi menyambut kepulangan suami masing-masing.

Ada benarnya gesaan seperti ini kerana apabila para isteri tidak dimaklumkan tentang kepulangan suami lebih awal, dibimbangi isteri yang berada di rumah dalam keadaan yang kurang menyenangkan seperti baju berbau busuk, tidak mandi lagi, rumah berselerakan, makanan tidak dimasak dan sebagainya.

Lalu, apabila situasi tersebut berlaku sejurus suami pulang ke rumah, sudah pasti akan mematikan ‘mood’ si suami yang letih dan mahu berisitirehat di rumah. Bahkan, lebih parah apabila keadaan ini akan menimbulkan pula kebencian di hati suami terhadap isteri yang sudah pasti akan memberi kesan terhadap institusi keluarga yang dibina.

#4 -Memberi Nafkah Kepada Keluarga

Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya nafkah yang kamu keluarkan kerana mengharap keredaan Allah S.W.T nescaya akan dibalas dengan pahala, termasuk apa yang kamu masukkan ke dalam mulut isterimu.”
Hadis Riwayat Bukhari

Nafkah keluarga adalah satu kewajipan buat setiap ketua keluarga terutama suami. Namun begitu, haruslah diingat serta diteliti sumber bagi memperolehinya. Ini kerana apa-apa yang diberikan kepada ahli keluarga itu terutama dalam soal pemakanan kelak akan menjadi darah daging dalam tubuh mereka. Jika baik sumbernya, maka baiklah seluruhnya.

#5 – Menjaga Rahsia Suami Isteri

Diriwayatkan dari Abi Sa’id Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya manusia paling buruk tempatnya di sisi Allah S.W.T pada hari kiamat adalah suami yang mendatangi isterinya dan isterinya mendatanginya (berhubungan intim) lalu dia sebarkan rahsianya.”
Hadis Riwayat Muslim

Menerusi hadis ini dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan sebaran rahsia tersebut adalah hal yang berlaku antara suami isteri di tempat tidur. Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci.

Oleh itu, berusahalah untuk memelihara ikatan tersebut daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya, antaranya dengan menceritakan perihal hubungan kelamin kepada rakan, ahli keluarga dan sebagainya.

#6 – Perintahkan Ahli Keluarga Untuk Solat

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan, perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan, akibat itu adalah bagi orang yang bertakwa.”
Surah Taha : 132

Solat yang menjadi tiang atau asas dalam agama juga perlu dititikberatkan. Ini kerana salah satu kelebihan bagi mereka yang memelihara ibadah solat ini adalah ia dapat menghindarkan diri daripada perkara yang keji dan mungkar.

Seterusnya memberi ketenangan kepada seisi rumah. Adapun, jika solat tidak dipelihara, dibimbangi ia akan memberi kesan buruk dalam kehidupan keluarga itu sendiri.

#7 – Tidak Meninggalkan Isteri Terlalu Lama

Aisyah R.A meriwayatkan;

“Apabila Rasulullah S.A.W hendak melakukan perjalanan, Baginda akan mengundi isteri-isterinya dan siapa yang namanya keluar, maka dialah yang akan menemani Baginda S.A.W dalam perjalanan.”
Hadis Riwayat Tirmizi

Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W juga tidak akan meninggalkan isterinya sekalipun ketika berjihad. Baginda akan melakukan undian dan memastikan salah seorang daripada mereka akan ikut serta.

Ini kerana meninggalkan isteri dalam tempoh masa yang lama dibimbangi akan melunturkan rasa kasih seterusnya menjadikan sesebuah perhubungan itu rapuh dan mudah ditiup angin. Akibatnya, perceraian juga akan mudah berlaku.

#8 – Tidak Membawa Perkara Yang Bertentangan Masuk Ke Dalam Rumah

Abu Talhah meriwayatkan, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar (patung atau lukisan.”
Muttafaqun Alaih

Bagi mewujudkan rumahtangga yang harmoni, hal ini juga haruslah dititikberatkan. Sebagai ketua keluarga, para suami hendaklah memastikan tiada perkara yang bertentangan dengan syariat Islam ada di dalam rumah masing-masing.

Gantikanlah hal tersebut dengan perkara yang lebih berfaedah untuk seisi keluarga seperti solat berjemaah atau bacaan Al-Quran.

Diharapkan perkongsian ini akan dapat memberi panduan kepada umat Islam terutamanya para suami yang mengemudi bahtera rumahtangga masing-masing.

Galakan serta saranan Baginda S.A.W ini tidak lain adalah bagi memandu kehidupan manusia agar tidak tersasar dari jalan-Nya. Moga bermanfaat untuk semua. Wallahua’lam.

Sumber : tazkirah.net