kelantan Archive

Indra Putra : “Terima Kasih Kelantan”…

Bekas pemain bintang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin akhirnya menjawab teka-teki hala tuju kariernya untuk musim depan.

Menerusi laman akaun Instagramnya, pemain berusia 37 tahun itu memberi bayangan bahawa dia akan menyarung jersi pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur untuk saingan musim hadapan.

Indra telah memuat naik video ‘Life Story’ bersama skuad The Red Warriors (TRW) dengan hashtag #hellokualalumpur seakan-akan mengiyakan khabar angin yang dia akan bersama Kuala Lumpur.

“Sukar untuk lupakan mereka yang berikan kenangan untuk diingati. Terima kasih buat semua penyokong TRW, Tan Sri Annuar Musa, Puan Presiden (Kak Bi), pengurusan lama, pengurusan baru, rakan pasukan dan seluruh rakyat Kelantan.

“Terima kasih untuk segalanya (2009, 2010, 2012, 2013, 2016, 2017,” katanya.

Indra turut mengakui keputusan meninggalkan TRW adalah satu keputusan yang sukar namun dia berharap keputusan tersebut adalah yang terbaik untuk musim 2018.

“Suatu keputusan yang sukar untuk saya buat tapi Allah beri apa yang saya perlu, bukan apa yang saya mahu.”

“Semoga Allah jadikan ini jalan yang terbaik untuk saya pada 2018. Selamat maju jaya buat Madam & TRW musim hadapan” katanya lagi.

Video yang dimuatnaik malam Ahad itu sudah ditonton lebih 13, 000 pengikutnya di Instagram.

Sumber : Instagram Indra Putra

Penaja : “TRW Sudah Terima Sebanyak RM2 Juta Tajaan, Perlu Lebih Kurang RM10 Juta Untuk Musim Depan”…

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) sudah menerima tajaan sebanyak RM2 juta daripada syarikat tempatan serta rakan kongsi yang dimeterai perjanjiannya, hari ini.

Bibi tengah bersama beberapa rakan kongsi pada majlis perjanjian tajaan. FOTO TRW

Bagaimanapun, badan induk bolasepak negeri itu mendedahkan mereka memerlukan peruntukan tajaan sekurang-kurangnya RM10 juta bagi memperkasakan pasukan gergasi Pantai Timur itu untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

TRW Perlukan RM10 Juta Tajaan

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata setakat ini badan induk itu sudah menerima tajaan berbentuk kewangan, jersi dan logistik yang menjadi perkara asas buat setiap pasukan yang bertanding.

Katanya, tajaan berkenaan membabitkan syarikat perlancongan, Al-Quds Umrah & Travel; syarikat pakaian sukan, Al-Ikhsan serta rakan kongsi antaranya Excel Printing, Exa Supply & Services, Klinik Mesra dan Pakaq Gom Gym.

“Setakat ini, tajaan diperoleh membabitkan perkara yang membantu pasukan seperti penajaan pakaian pasukan, logistik dan penginapan.

“Tajaan ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan KAFA dalam menempuh saingan liga pada musim depan,” katanya selepas menandatangani tajaan bersama beberapa syarikat serta rakan kongsi di Hotel Jewel, hari ini.

Hadir Pengurus Besar Al-Quds Travel & Umrah, Iskandar Hassan dan Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani Ilias Khan memberi bayangan dua syarikat gergasi bakal dibawa masuk untuk menjadi penaja utama Kelantan bagi musim hadapan.

“Kita sedang berunding dan hampir mencapai kesepakatan bersama dua syarikat gergasi dalam bidang automotif dan kewangan. Insya-Allah bila tiba masanya kita akan umumkan semula.”

Mengulas mengenai tajaan dua syarikat Jepun, Bibi berkata pihaknya sedang berunding dan hampir mencapai 80 peratus persetujuan.

“Bagi tajaan Yakult dan Rohm-Wako rundingannya sudah mencapai 80 peratus dan pihak mereka meminta tarikh sehingga 10 Disember ini untuk memuktamadkan perjanjian tajaan mereka kepada kita,” katanya.

Sumber : my Metro

Kelantan Umum Senarai Pemain 2018 : “80% ‘UBI’ Baru Akan Perkuatkan Pasukan TRW”…

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mempertaruhkan “UBI” muda dalam skuad The Red Warriors (TRW) pada saingan Liga Super 2018.

Dalam skuad itu, KAFA turut mengesahkan hanya 20 peratus pemain senior dikekalkan bagi membantu barisan muda termasuk dari skuad Piala Presiden.

Antara barisan pemain muda yang bakal memperkuatkan pasukan itu pada musim depan ialah :-

    1. Fakrul Zaman Abdullah Zawawi.
    2. Mohd Nasrihan Rosid.
    3. Shafiq Rahman.
    4. Azwan Aripin.
    5. Mohd Fadhilah.
    6. Faris Shah Rosli.
    7. Mohd Ramadhan Abdul Hamid.
    8. Mohd Shahrul Akim.
    9. Mohd Amir Zikri.

Lima pemain Piala Presiden yang diangkat beraksi bersama pasukan senior ialah :-

  1. Mohd Daniel Asyraf Abdullah.
  2. Nik Azli Nik Alias.
  3. Mohd Imran Samso.
  4. Nik Akif Syahiran Nik Mat.
  5. Muhd Saiful Alias.

Pemain senior yang dikekalkan KAFA ialah :-

  1. Khairul Fahmi Che Mat.
  2. Nik Shahrul Azim Abdul Halim.
  3. Faizol Nazlin Sayuti.
  4. Mohd Rozaimi Azwar.

Sementara itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, senarai pemain yang diumumkan itu adalah sebagai persiapan awal pasukan dan latihan pertama akan bermula pada 20 November.

Bagaimanapun, bagi pemain baharu termasuk import yang bakal dibawa masuk, Bibi berkata, pihaknya masih lagi dalam proses rundingan.

“Pemain yang diumumkan (hari ini) termasuk empat pemain senior adalah pemain yang masih mempunyai baki kontrak dan bersetuju meneruskan khidmat bersama TRW.

“Manakala bagi nama-nama yang tidak disebut, ada antaranya sudah dilepaskan untuk beraksi dengan pasukan baharu… bagaimanapun masih ada pemain senior yang sedang dalam rundingan seperti Mohd Badhri Radzi, Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahyuddin,” katanya yang turut mengekalkan Santhit Bensoh sebagai Pemangku Jurulatih TRW.

Sumber : BH Online

GEMPAR!!!…31 Lalok Di Rumah Tumpangan Ditahan Semasa Sedang Asyik “Berdisko”

TUMPAT, KELANTAN – Sewa rumah tumpangan RM150 namun lain pula dilakukan 31 remaja apabila berpesta dadah dan ‘berdisko‘ di rumah tumpangan di kampung Berangan malam tadi.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tumpat dalam satu operasi ‘Op Private Party dengan kekuatan 32 anggota yang turut mendapat kerjasama daripada penguatkuasa Majlis Daerah Tumpat.

Ketua Pegawai AADK Tumpat, Mazlan Idris berkata, mereka yang berpesta dadah itu akan disusuli dengan hubungan seks.

Namun katanya, serbuan sepasukan anggota AADK Tumpat ini menyelamatkan tujuh gadis kesemuanya positif dadah daripada menjadi mangsa seks.

“Serbuan jam 1 pagi itu, kesemua mereka sedang lalok berhimpit di dalam sebuah bilik yang dilengkapi alat muzik dalam keadaan khayal dadah dan asyik dengan alunan muzik.

Mazlan ketika soal siasat yang ditahan berpesta dadah dan ‘berdisko si rumah tumpangan di Kampung Berangan.

“Seorang berjaya melarikan diri dipercayai anak pemilik rumah tumpangan itu,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian urin mendapati 7 remaja perempuan itu dua daripadanya adalah adik beradik dan kakaknya adalah pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Kota Bharu.

Menurutnya, remaja perempuan yang lain tidak bersekolah dan seorang daripada mereka berusia 15 tahun dari Bachok sudah ada pengalaman berpesta di hotel Golok Thailand.

“Hasil pemeriksaan urin 28 daripada mereka positif methamphetamine dan seorang lagi positif dadah jenis opiat,” katanya.

Difahamkan, kutipan untuk sewa rumah tumpangan itu dikenakan RM10 kepada remaja lelaki dan mereka akan mendapat gadis untuk berhibur.

Kesemua mereka diajak oleh pasangan kekasih, abang angkat melalui whastapp untuk berpesta kali pertama di lokasi ini.

Sumber : Sinar Harian

Dua Lelaki Ditahan Gali Emas Secara Haram

KOTA BHARU – Dua lelaki ditahan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) kerana disyaki menggali emas secara haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Stong Selatan, Tanah Merah, dua hari lepas.

Gambar Hiasan

Pengarahnya, Datuk Zahari Ibrahim berkata, dua lelaki berusia 43 dan 52 tahun itu ditahan sepasukan pegawai Unit Operasi dan Penguatkuasaan jabatan itu, ketika mereka sedang mencari gali emas di kawasan hutan tersebut.

Gambar Hiasan

“Pemeriksaan mendapati mereka tiada permit untuk masuk ke kawasan hutan simpan itu selain permit mencari gali telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata jabatannya bertindak menyita empat unit pam air , tiga unit bateri, sebuah generator, satu mini palong dan satu dulang kayu.

Sementara itu, Zahari berkata dalam serbuan kedua yang dijalankan di HSK Berangkat, Tanah Merah pada hari sama, pihaknya menemui dua unit pam air disyaki digunakan bagi menjalankan kerja menggali emas.

“Tiada suspek ditemui di kawasan serbuan dipercayai sudah melarikan diri,” katanya. – Bernama

Sumber : Bernama, Sinar Online