informasi Archive

Krisis Arab Saudi : “Apa Yang Sedang Berlaku Di Arab Saudi Ketika Ini?”…

Pasti ramai yang mengikuti pergolakan yang sedang berlaku di Arab Saudi ketika ini. Untuk memahami krisis yang melanda Arab Saudi agak sukar, kerana kisahnya agak panjang jadi berikut adalah fakta-fakta penting berkenaan krisis politik Arab Saudi.

Majoriti berpendapat semua ini berpunca dari tindakan Putera Mohammed bin Salman mahu mengukuhkan kuasanya sebelum dia menaiki takhta kerajaan Arab Saudi. Menteri Pertahanan paling muda di dunia pada usia 32 tahun, dia menjadi pewaris kepada kerajaan Arab Saudi secara rasmi pada bulan Jun 2017.

Putera Mohammed sudah banyak kali menyatakan yang dia akan membersihkan Arab Saudi daripada korupsi yang telah lama berlaku, mengurangkan pengaruh Iran di Timur Tengah dan juga meminimakan kebergantungan ekonomi Arab Saudi pada minyak.

PERLETAKAN JAWATAN PERDANA MENTERI LEBANON

Perdana Menteri Lebanon Saad al-Hariri.

Langkah pembersihan Putera Mohammed bermula dengan perletakan jawatan Perdana Menteri Lebanon, Saad al-Hariri yang menyebabkan politik Lebanon bergolak.

Saad al-Hariri adalah sekutu kuat Arab Saudi dan salah seorang ahli politik Sunni paling berpengaruh di Lebanon. Dalam kerajaan Lebanon yang dipimpinnya, kerajaan Lebanon terdiri daripada kerajaan campuran yang juga disertai oleh Hezbollah, kumpulan militan yang disokong kuat pihak Iran.

Arab Saudi dan Iran memang sudah lama berusaha menjadikan Lebanon sebagai proksi negara mereka dan Saad al-Hariri kerap dikatakan seorang ‘ejen Saudi’ di dalam kerajaan Lebanon. Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila Saad al-Hariri membuat pengumuman perletakan jawatan dari Riyadh, Arab Saudi atas dakwaan terdapat cubaan membunuh beliau.

Saad juga menuduh Iran melalui Hezbollah cuba menimbulkan kekacauan pada kestabilan politik Lebanon, dengan tindakan Hezbollah dilihat sebagai cuba melahirkan satu negara baru dalam Lebanon.

Presiden Lebanon, Michael Aoun

Presiden Lebanon, Michael Aoun menolak perletakan jawatan tersebut selagi tidak dibuat di dalam negara Lebanon sendiri dan wakil Hezbollah, Hassan Nasrallah menuduh perletakan jawatan itu sebagai satu arahan Arab Saudi oada Saad al-Hariri.

KONFLIK ARAB SAUDI DAN IRAN

Tunjuk Perasaan Di Iran.

Pada 5 November 2017, kerajaan Arab Saudi mengumumkan yang mereka telah berjaya menembak jatuh peluru berpandu yang sedang menuju ke Riyadh. Pihak Houthi yang beroperasi di Yemen dalam melawan pengaruh Arab Saudi ke atas Yemen, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Setelah dianalisa, peluru berpandu tersebut didapati dibuat di Iran serta diseludup masuk ke Yemen bagi digunakan oleh kumpulan Houthi dalam menentang Arab Saudi. Kerajaan Arab Saudi mengumumkan yang mereka menganggap tindakan Iran menyeludup masuk peluru berpandu itu sebagai satu bentuk pengisytiharan perang dan akan bertindak balas.

Pada 7 haribulan November 2017, kerajaan Arab Saudi mengumumkan tuduhan mereka ke atas kerajaan Lebanon dan mengecam gerakan Hezbollah. Menteri Arab Saudi, Thamer al-Sabhan berkata tindakan agresif Hezbollah dianggap sebagai satu ancaman pada kerajaan Arab Saudi serta diambil sebagai satu bentuk pengistiharan perang oleh kerajaan Lebanon kepada Arab Saudi.

Beliau menggesa rakyat Lebanon supaya memilih untuk mengekalkan keamanan atau terus melantik Hezbollah yang pro-Iran dalam kerajaan mereka.

PEMBERSIHAN POLITIK DALAMAN

The Ritz Carlton, Riyadh.

Putera Mohammed bin Salman memang sejak dulu gemar mengkritik pengaruh Iran di Timur Tengah dengan pengikut-pengikut beliau sudah memulakan kempen anti-Iran dalam beberapa bulan ini. Dikatakan, kesemua yang berlaku ini adalah perancangan Putera Mohammed yang bertindak selaku Menteri Pertahanan Arab Saudi.

Selain daripada mengekang pengaruh luar, Putera Mohammed juga melakukan pembersihan dalam negara. Putera Mohammed telah menangkap kebanyakan seteru politik beliau yang dikatakan mengamalkan korupsi. Ahli politik dan pegawai kerajaan itu ditahan di hotel Ritz Carlton Riyadh . Ritz Carlton juga mengumumkan yang mereka tidak menerima sebarang tempahan sehingga 1 Disember 2017.

Mereka yang menginap di Ritz Carlton semasa proses tahanan berlangsung di minta mengemaskan barang-barang, berkumpul di lobi dan dihantar ke hotel lain bagi mengosongkan hotel tersebut. Pegawai Arab Saudi memberi keterangan yang tindakan menggunakan hotel diambil kerana keselamatan mereka yang ditahan lebih selamat di situ, berbanding dengan fasiliti penjara.

Putera Aziz al-Fahd
Putera Mansour al-Muqrin

Dua putera Saudi telah terkorban dalam insiden ini. Putera Aziz al-Fahd, anak bongsu kepada Raja Fahd terkorban dalam pertempuran di antara pengawalnya dan pasukan keselamatan yang diarahkan menangkap beliau sementara Putera Mansour al-Muqrin, anak kepada bekas pewaris kerajaan Arab Saudi, Muqrin bin Abdulaziz Al-Saud, meninggal dunia dalam satu nahas melibatkan helikopter beberapa hari lepas.

REFORMIS MUDA ARAB SAUDI

Putera Mohammed Bin Salman

Pihak pengkritik menganggap tindakan Putera Mohammed bin Salman ini hanyalah satu langkah pengukuhan kuasa dalaman dengan menggunakan Iran sebagai punca kepada masalah. Walaupun begitu, banyak juga pendapat menganggap yang gerakan reformasi Putera Mohammed ini adalah satu tindakan yang akan membawa Arab Saudi seiring dengan negara-negara lain di dunia.

Berjiwa muda, Putera Mohammed dilihat cuba menjadikan Arab Saudi lebih terbuka dengan dunia luar dan tidak terlalu bersikap konservatif. Selepas perlantikan beliau sebagai Putera Mahkota pada pertengahan tahun ini, aktiviti-aktiviti seperti rancangan komedi serta pertandingan trak gergasi diwujudkan. Wanita pula akan dibenarkan masuk ke stadium bermula tahun depan secara rasmi. Sambutan hari kebangsaan Arab Saudi beberapa bulan lepas juga menyaksikan wanita dibenarkan ke stadium buat pertama kali. Mulai Jun 2018 pula, golongan wanita akan dibenarkan memandu.

Apa yang masih menjadi tanda tanya ketika ini adalah adakah reformasi yang sedang digerakkan oleh Putera Mohammed bin Salman ini akan berhasil? Persoalan lebih besar pula melibatkan kemungkinan terjadinya perang di antara Arab Saudi dan Iran akibat pengaruh Putera Mohammed ini. Walaupun peluang peperangan tercetus masih dilihat rendah, tahap kesihatan Raja Salman yang semakin menurun mungkin mempercepatkan kenaikan Putera Mohammed ke takhta kerajaan Arab Saudi.

Adakah agenda anti Iran yang telah beliau yang telah dilaungkan selama ini akan mencapai ke satu tahap yang lebih tinggi?

Sumber : iluminasi.com

5 Kes Jenayah Cikgu Yang Merosakkan Reputasi Perguruan Di Malaysia…

Guru adalah sumber ilmu. Guru yang baik, adalah mereka yang mampu dipandang tinggi dalam masyarakat, berkat daripada didikan mereka yang pasti akan kekal digunakan sepanjang hayat.

Walaupun begitu, bukan semua guru itu baik-baik. Pasti ada seorang dua yang akan muncul dan mencemarkan kemurnian profesion guru. Berikut adalah contoh 5 kes yang membuktikan ada masanya guru juga tidak dapat lari daripada naluri buruk.

1. Cikgu belasah empat orang pelajar kerana tidak bawa buku

Pada 14 Februari 2014 di Sitiawan, Perak, empat pelajar tingkatan satu termasuk dua orang pelajar perempuan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dipukul seorang guru lelaki tanpa sebab. Salah seorang pelajar perempuan yang sedang berada di depan makmal komputer tiba-tiba ditumbuk sebanyak 5 kali oleh guru itu di muka. Dua orang pelajar yang tidak membawa buku latihan ditendang sehingga mengakibatkan dagu berdarah teruk. Seorang lagi, seperti dilaporkan oleh polis, dibelasah akibat masalah botol air.

Apa yang mengejutkan, itu bukanlah kali pertama kejadian sama berlaku. Guru yang sama pernah melakukan tindakan serupa pada Januari 2014, namun kes itu dapat diselesaikan secara dalaman. (rujukan)

2. Rogol pelajar yang sakit dan tidak bermaya

Seorang guru di Sabak Bernam melampaui batas apabila mengambil kesempatan ke atas keperluan tugasan menghantar pelajar perempuan ke klinik akibat kurang sihat. Selepas selesai urusan di klinik, guru tersebut terus membawa mangsa ke rumah beliau dan pelajar tersebut dipaksa untuk menonton video lucah, mungkin bagi menaikkan nafsu pelajar tersebut.

Cubaannya gagal lalu guru tersebut yang sudah dikawal nafsu akhirnya merogol pelajarnya itu yang pada ketika itu berada dalam keadaan kurang sihat, kerana dipercayai mengidap penyakit tibi. Tidak beraya melawan, pelajar itu hanya mampu berdiam diri sebelum mengadu perbuatan itu pada guru kaunseling sekolah, keesokannya. (rujukan)

3. Guru sekolah rendah gemar sentuh alat sulit pelajar lelaki

Seorang guru lelaki bernama Lee Chee Hiang yang bertugas di sebuahb sekolah rendah di Serian, Sarawak mempunyai satu tabiat pelik. Dia gemar memegang alat sulit pelajar lelaki. Dengan menggunakan kedudukannya sebagai seorang guru, Lee gemar menjadikan waktu mengajar sebagai waktu untuk memancing pelajar lelaki bawah umur untuk hubungan seksual, dengan menyentuh dan membelai alat sulit mangsa.

Bagi mana-mana pelajar yang tidak bernasib baik, mereka telah dijadikan mangsa liwat oleh Lee di dalam bilik stor sekolah atau di dalam bilik darjah. Hakim perbicaraan, berdasarkan kes, tidak membenarkan petuduh diikat jamin. Apa yang menakutkan, kes ini baharu saja berlaku pada 9 Oktober 2017. (rujukan)

4. Belasah guru besar depan kelas penuh murid

Seorang guru sekolah rendah di Sibu, bertindak membelasah guru besar sekolahnya yang sedang melakukan rondaan. Rimas dengan tindakan guru besar yang masuk ke dalam kelasnya, seolah-olah kurang mempercayai kemahirannya, berlaku pertengkaran di antara guru besar lelaki berusia 40 tahun dengan guru wanita berusia 49 tahun itu.

Dengan air minuman yang agak panas ditangannya. guru wanita itu mencampakkan air panas tersebut pada wajah guru besar beliau lalu menendang guru besarnya. Guru besar itu mengalami kesan lecuran pada bahagian belakang badan dan juga lengan. Masalahnya, itu bukan kali pertama suspek menyerang bekas guru besar sekolah berkenaan. Dapat guru besar baru pun, dia serang juga. (rujukan)

5. Guru veteran cabul pelajar OKU

Pada bulan Julai 2013, seorang guru bernama Sha’ari A.Samat yang telah berkhidmat di sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi lebih 35 tahun, didapati telah mencabul salah seorang pelajar tingkatan tiga beliau yang mempunyai masalah kecelaruan hiperaktif daya tumpuan (ADHD). Sha’ari telah menggunakan kedudukannya sebagai seorang guru untuk meminta pelajarnya melakukan seks oral bagi memuaskan nafsu beliau.

Semuanya terdedah selepas bapa mangsa menemui mesej-mesej lucah yang telah dihantar oleh CIkgu Sha’ari kepada anaknya melalui telefon bimbit, lalu ayahnya ke sekolah untuk menyiasat. Cikgu Sha’ari menafikan tuduhan namun pihak mahkamah berpuas hati dengan bukti lalu menjatuhkan hukuman 10 tahun keseluruhannya ke atas Cikgu Sha’ari. (rujukan)

Walaupun ini adalah 5 contoh kes buruk melibatkan pihak guru, janganlah pula hanya kerana 5 kes ini, masyarakat mempunyai persepsi buruk terhadap profesion perguruan. Seperti kata pepatah, hanya kerana nilai setitik, rosak susu sebelanga. Kami kongsikan kes-kes ini hanyalah sebagai peringatan kepada anda semua.

Sumber : iluminasi.com

INFO : 6 Penyanyi Popular Yang Mati Dibunuh

Menjadi penyanyi adalah sesuatu yang sangat digilai ramai saban hari kerana perhatian yang diterima dan juga dikenali di merata tempat. Dengan teknologi tanpa sempadan, lebih mudah untuk sesiapa sahaja untuk menjadi selebriti yang boleh dilakukan dengan hanya satu klik.

Aiman Tino (Gambar Hiasan..tiada kaitan dengan artikel)

Namun, ia bukanlah seindah yang disangka. Menjadi seorang selebriti atau public figure adalah sesuatu yang agak berbahaya dan mempunyai risiko tersendiri. Malah, ia mungkin mampu membunuh selebriti itu tersendiri jika tersalah langkah.

iluminasi.com ingin berkongsi 6 penyanyi popular yang telah mati dibunuh.

1. Dimebag Darrell – Pantera

Bagi peminat muzik metal, insiden yang berlaku pada 8 Disember 2004 ini masih segar dalam ingatan. Penyanyi dan gitaris kumpulan Pantera dan juga Damageplan, Dimebag Darrell atau nama sebenarnya Darrell Aboi telah ditembak ketika sedang membuat persembahan di atas pentas.

Pembunuhan tersebut telah dilakukan oleh bekas Tentera Laut Amerika Syarikat, Nanthan Gale. Ketika kejadian, Nanthan dilihat berada di atas pentas lalu menembak Darrell dari jarak dekat.

Nathan Gale

Tak cukup dengan itu, Nanthan kemudiannya mengamuk dan menembak ketua keselamatan band Damageplan, Jeffery Thompson dan Erin Halk, kakitangan lokasi konsert itu dilangsungkan. Seorang lagi mangsa maut adalah Nanthan Bray yang ditembak ketika cuba melakukan CPR pada Darrell yang telah pun maut.

Tonton Video :

Jumlah kematian pada konsert itu adalah 5 nyawa termasuk Nanthan Gale, selepas ditembak oleh pegawai polis, James Niggemeyer. Motif pembunuhan tidak dapat dikenalpasti dan ibu pembunuh ini memberitahu bahawa anaknya mengalami masalah mental.

2. John Lennon – The Beatles

John Lennon

Siapa tak kenal dengan John Lennon, pengasas bersama kumpulan muzik The Beatles yang dikatakan antara band paling popular di dunia. Ketika dalam perjalanan pulang dari Record Plant Studio bersama isterinya, Yoko Ono, ke apartment mereka di Manhattan, John telah ditembak oleh seorang lelaki.

Kejadian tersebut berlaku di pintu gerbang Dakota, di mana 5 das tembakan telah dilepaskan oleh seorang peminat, Mark Chapman ke arah belajang badan John. 4 das tembakan mengenai bahagian belakang John Lennon. Beliau kemudiannya dikejarkan menggunakan kereta polis ke hospital terdekat iaitu Hospital Roosevelt.

Mayat John Lennon
Mark Chapman

Namun, John diumumkan telah meninggal dunia ketika tiba di hospital kira-kira jam 11 malam.

Sebelum kejadian, John Lennon telah menandatangani album “Double Fantasy” untuk peminatnya itu. Mark mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara 20 hingga seumur hidup. Mark masih berada di penjara sehingga ke hari ini.

3. Tupac Shakur

Tupac Shakur

Nama sebenar beliau adalah Tupac Amaru Shakur, seorang rapper dan pelakon yang sangat terkenal. Albumnya telah terjual melebihi 75 juta unit di seluruh dunia menjadikannya salah seorang artis dengan album paling laris di dunia.

Tupac telah ditembak dalam pada 7 September 1996, dalam satu kejadian tembakan jalanan yang berlaku di Las Vegas. Pada jam 11.15pm waktu tempatan, kereta yang Tupac naiki sedang berhenti di lampu merah. Beliau ditembak 2 das di bahagian dada, satu das di tangan dan satu das lagi di bahagian paha.

Orlando Anderson

6 hari kemudian, Tupac menghembuskan nafas terakhir akibat kegagalan pernafasan yang membawa kepada serangan jantung selepas pemindahan paru-paru kanannya. Pembunuh Tupac masih belum ditemui, namun dalam satu dokumentari “Murder Rap”, bekas Detektif LAPD, Greg Kading menegaskan Duane Anderson, telah mengesahkan anak saudaranya, Orlando Anderson adalah orang yang bertanggungjawab menembak dan membunuh Tupac Shakur.

4. Marvin Gaye

Marvin Gaye

Marvin Gaye adalah seorang penyanyi dan penulis lagu “soul”, yang terkenal pada tahun 1960-an. Nama beliau dipopularkan dalam lagi Charlie Puth, iaitu “Marvin Gaye”. Sebelum hari kematiannya, ibu bapa Marvin bertengkar disebabkan tersalah letak surat polisi insurans. Pertengkaran itu berlangsung sehingga ke bilik Marvin.

Marvin yang berang dengan bapanya kerana memarahi ibunya, telah mengarahkan bapanya, Marvin Sr. supaya berhenti dan keluar. Bapanya kemudian mengikut arahan itu, namun masih menjerit di sekeliling rumah.

Pada 1 April 1984, bapa Marvin yang berada di tingkat bawah, sekali lagi memarahi ibunya. Marvin kemudian menjerit memarahi bapanya, membuatkan Marvin Sr. naik ke tingkat atas dan memaki hamun ibu Marvin. Tak tahan dengan situasi itu, Marvin Jr. bangun dan mengarahkan bapanya untuk keluar daripada biliknya, namun tidak diendahkan bapanya.

Marvin Gay Sr. ditahan polis

Marvin Jr. dilaporkan menolak bapanya keluar dari biliknya, dan menendang serta menumbuk bapanya. Namun ia dileraikan oleh ibunya. Beberapa minit kemudian, Marvin Sr. kembali ke bilik anaknya bersama pistol yang dibeli oleh Marvin Jr. untuknya. Pistol tersebut diacukan ke arah Marvin Jr. dan satu das tembakan dilepaskan tepat mengenai jantung Marvin Jr.

Marvin yang terjatuh akibat tembakan pertama, didekati bapanya, yang kemudian menembak sekali lagi dari jarak dekat.

5. Christina Grimmie

Christina Grimmie

Christinna Grimmie adalah penyanyi yang popular melalui rancangan realiti TV The Voice di mana beliau mendapat tempat ketiga. Pada 10 Jun 2016, beliau telah ditembak ketika sesi tandatangan bersama peminat selepas persembahannya di The Plaza Live, Orlando.

Pelaku tembakan ini Kevin Loibl, 27, melepaskan 4 das tembakan dari jarak dekat mengenai Christinna. Kevin kemudiannya berjaya dijatuhkan oleh abang Christinna, namun terlepas, sebelum menembak dirinya sendiri. Christinna dikejarkan ke Pusat Perubatan Orlando dalam keadaan kritikal sebelum diumumkan mati.

Tonton Video :

Kevin James Loibl

Pihak Polis Orlando memberitahu Kevin datang ke konsert tersebut bersama 2 pistol dan peluru tambahan dan juga sebilah pisau. Beliau sememangnya mempunyai niat untuk membunuh. Motif pembunuhan tidak dapat dipastikan namun Kevin dikatakan meminati Christinna secara keterlaluan dan sanggup untuk menurunkan berat badan dan melakukan pembedahan mata supaya kelihatan lebih menarik.

6. Along – Spoon

Along Spoon

Rindu serindu rindunya. Lagu yang menjadi siulan satu ketika dahulu. Ia merupakan lagu popular dari kumpulan Spoon nyayian Along atau nama sebenarnya Sabi’ul Malik. Namun, ketika peminat sedang menantikan album seterusnya, pada 25 Disember 1999, mereka dikejutkan dengan berita kehilangan penyanyi popular ini.

Proses pencarian penyanyi yang ketika itu berusia 20 tahun segera dijalankan oleh pihak polis. 11 hari kemudian iaitu pada 6 Januari 2000, pihak polis telah menemukan rangka manusia yang dipercayai milik Along yang terikat dalam guni di lereng bukit di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu.

Lans Koperal Mohamed Ya’cob

Sehari kemudian, seorang pegawai polis berpangkat Lans Koperal, Mohamed Ya’cob telah ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan tersebut. Mohamed Ya’cob dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Seremban dan dijatuhkan hukuman mati kerana didapati bersalah.

Sumber : iluminati

INFO : 5 Pulau Buatan Manusia Yang Sangat Cantik

Dengan kecanggihan teknologi, manusia pada zaman kini sudah mampu membina pulau tiruan untuk pelbagai tujuan tertentu. Kebanyakan pulau buatan manusia dibina untuk mewujudkan lokasi pelancongan dan untuk tujuan komersial.

Proses pembuatan pulau ini dilakukan melalui proses penambakan laut, iaitu sebuah proses menimbus kawasan laut dengan bahan seperti pasir, batu dan tanah untuk mewujudkan kawasan daratan yang baru. Kali ini, pihak iluminasi ingin berkongsi beberapa pulau menarik buatan manusia yang terdapat di seluruh dunia.

1. The World, Dubai

Pulau The World ini terletak di Dubai. Ianya adalah gugusan 300 pulau kecil yang membentuk peta dunia. Pulau ini terletak kira-kira 4 km daripada kawasan darat dan merupakan idea asal Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai pada ketika itu.

Projek pembinaan pulau ini bermula pada tahun 2003 dan kos pembinaannya dianggarkan mencecah RM55 bilion. Setiap pulau-pulau kecil ini mempunyai keluasan antara 14000 hingga 42000 meter persegi dan jaraknya antara satu sama lain kira-kira 100 meter. Setiap pulau ini kemudiannya akan dijual kepada syarikat-syarikat dan pihak individu untuk kegunaan tertentu seperti pusat peranginan dan percutian.

2. Palm Jumeirah

Palm Jumeirah merupakan sebuah lagi projek mega pulau buatan manusia di Dubai. Pulau ini mendapat namanya kerana bentuknya yang menyerupai pokok kelapa sawit. Pulau ini terletak di kawasan pesisir laut Jumeirah, Dubai.

Projek pembinaannya bermula pada 2001 di mana rumah kediaman pertamanya berjaya disiapkan pada tahun 2006. Bagi kemudahan pengangkutan penduduk yang tinggal di pulau ini, terdapat monorail yang menghubungkan pulau ini dengan kawasan daratan besar dengan trek sepanjang 5.4 km.

3. Port Island, Jepun

Antara pulau buatan manusia yang terawal, pulau ini dibina antara tahun 1966 dan 1981 di kawasan perairan Kobe, Jepun. Kini, pulau ini menempatkan pelbagai insfrastruktur seperti pusat konvensyen, hotel, muzium, pusat membeli-belah dan lain-lain.

Bagi memudahkan perhubungan penduduk setempat, terdapat sebuah sistem transit kereta api yang menghubungkan kawasan darat besar dan juga lapangan terbang Kobe.

4. Chek Lap Kok, Hong Kong

Pulau Chek Lap Kok ini terletak di Hong Kong dan pulau ini menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, iaitu lapangan terbang paling sibuk di dunia. Lapangan terbang ini telah dibuka secara rasminya pada tahun 1998, menggantikan lapangan terbang utama Hong Kong yang lama.

Pulau dengan keluasan 3.02 km persegi ini juga menempatkan bangunan Hong Kong SkyCity sebuah kompleks bisnes dan hiburan. Selain itu, sebuah pusat konvesyen dan pameran yang dikenali AsiaWorld-Expo juga terdapat di pulau ini.

5. Pulau Amwaj, Bahrain

Pulau Amwaj adalah sebuah lagi pulau buatan manusia yang terletak di Teluk Gulf. Pulau ini terletak di timur laut Bahrain dan mempunyai keluasan daratan seluas 4.31 km persegi. Pulau Amwaj ini sebenarnya adalah gugusan 9 bulau kecil yang diberi nama Amwaj, Najmah, Tala, Wardeh, Hamama, Dalphene, Farasha, Dilmuniya, Qassar dan Jurdi.

Projek pembinaannya bermula pada 2002 dalam beberapa fasa sebelum siap sepenuhnya pada 2016. Pulau ini kini mempunyai populasi kira-kira 100,000 orang penduduk dan kini menempatkan kawasan kediaman, komersil dan hotel.

Sumber : iluminati

Info : 5 Kawasan Penempatan Paling Sejuk Di Dunia

Walaupun ramai yang mengeluh, namun rakyat Malaysia masih patut bersyukur kerana negara kita mempunyai suhu dan iklim yang agak baik, tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas jika nak dibandingkan dengan negara-negara lain. Purata suhu di Malaysia adalah 27 °C manakala suhu paling rendah dicatatkan di Malaysia adalah 7.8 °C pada 1 Februari 1978 di Cameron Highland.

Bagi mereka yang pernah tinggal di negara sejuk, pasti akan mengeluh lebih lagi apabila tibanya musim sejuk. iluminasi.com ingin berkongsi 5 lokasi berpenghuni yang paling sejuk di dunia.

5. Sweden

Kawasan utara Sweden mempunyai iklim sub-arktik dan beraltitud tinggi membuatkan ia menjadi salah satu kawasan paling sejuk di dunia, walaupun kebanyakan kawasan Sweden mempunyai iklim yang sederhana. Kawasan paling sejuk di Sweden adalah Vuoggatjalme dengan suhu -52.6°C dan masih menjadi lokasi pelancongan popular.

4. Riverside, Wyoming

Dengan suhu paling sejuk pernah dicatatkan serendah -54.4°C, bandar Riverside, Wyoming ditabalkan sebagai kawasan ke-5 paling sejuk didiami manusia di dunia, dan paling sejuk di Amerika Syarikat (bahagian benua). Kawasan seluas 700 meter persegi ini didiami oleh 55 penduduk, yang pastinya dapat bertahan dengan cuaca yang sejuk melampau ini.

3. Prospect Creek, Alaska

Prospect Creek adalah merupakan sebuah penempatan kecil terletak di Alaska, Amerika Syarikat. Ia merupakan kawasan paling sejuk di Amerika Syarikat dengan suhu terendah pernah dicatatkan adalah -62°C pada tahun 1971. Penempatan ini didiami oleh mereka yang bekerja membina paip di Alaska.

2. Greenland

Jika dilihat di atas peta, Greenland berwarna putih kerana penuh dengan salji. Greendland mempunyai penduduk seramai 56,483 orang sehingga September 2016. Pada tahun 1954, suhu terendah di sini telah dicatatkan iaitu serendah -66.1°C yang mampu membuatkan anda membuatkan anda beku dalam sekelip mata.

1. Verkhoyansk dan Oymyakon, Rusia

Tempat paling sejuk di dunia yang didiami oleh manusia adalah di Verkhoyansk dan Oymyakon, Rusia. Kedua-dua bandar ini pernah mencatatkan suhu paling rendah -66.7°C. Ketika negara-negara lain mengalami musim panas dengan suhu melebihi 40°C, dua bandar ini masih sejuk dengan 16.5°C.

Pada tahun 2012, sebanyak 400 ekor serigala menyerang 1,300 penduduk kerana terlalu lapar ketika cuaca terlalu sejuk. Kebanyakan penduduk di Verkhoyansk adalah individu yang diasingkan akibat politik.

Sumber : iluminati