amerika syarikat Archive

“US Wildfire”…Selepas California, Santa Barbara pula terbakar…[Video]

CALIFORNIA – AMERIKA SYARIKAT. Selepas California, kini Santa Barbara pula bergelut dengan kebakaran besar.

Memetik media antarabangsa, kebakaran yang melanda sekarang adalah kelima terbesar dalam sejarah moden California.

Anggota bomba kini sedang bergelut menghalang api daripada terus merebak.

Laporan menyatakan api merebak terlalu pantas sehingga 50,000 ekar tanah semalam, memusnahkan struktur dan hidupan yang berada di laluannya.

Keadaan tersebut mencetuskan panik di mana 35,000 penduduk diarah berpindah keluar serta-merta.

Kebakaran itu telah memusnahkan 524 struktur dan merosakkan 135 di bandar Ventura.

Di kawasan Ventura yang tidak diperbadankan, 266 struktur telah musnah, manakala 56 telah rosak.

Angin Santa Ana, dibantu oleh kelembapan yang sangat rendah, mendorong kebakaran Ventura County di atas sempadan Santa Barbara pada malam Sabtu.

Tonton Video :

Sumber : Sinar Online
Video : Youtube

Isu Baitulmaqdis : “Pemuda UMNO akan hantar bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat,”…

Pergerakan Pemuda UMNO akan menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini berhubung tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin

Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO memandang serius isu berkenaan dan beliau sendiri akan mengetuai rombongan menghantar bantahan tersebut selepas solat Jumaat.

“Kami sudah meminta izin daripada Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menghantar nota bantahan tersebut,” kata beliau.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Sambil mengutuk tindakan Amerika Syarikat itu, beliau berkata Pemuda UMNO tidak boleh menerima pendirian Amerika Syarikat memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

“Ini merupakan satu tempat penting bagi umat Islam dan menjadi kota pertikaian antara Palestin dan Tel Aviv,” katanya.

Khairy menegaskan tindakan Amerika Syarikat itu dikhuatiri akan mencetuskan keadaan yang sangat tidak stabil bukan hanya di Timur Tengah malah di seluruh dunia.

Mengenai pertemuannya dengan KULN, Khairy berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap memerlukan sokongan dan dukungan daripada mereka yang berada di luar negara bagi menyumbang kepada kempen pilihan raya umum UMNO dan BN termasuk menerusi media sosial.

Sumber : BERNAMA

Dewan Perwakilan US : “Undi tidak percaya gagal.”…

WASHINGTON : Dewan Perwakilan Amerika Syarikat semalam sebulat suara menolak usul seorang ahli Kongres untuk melaksanakan undi tidak percaya terhadap Trump, dengan pemimpin Parti Demokrat berpendapat langkah itu tidak sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini.

Seramai 364 pembuat dasar mengundi untuk menolak dan 58 mengundi untuk menerima usul ahli liberal Demokrat, Al Green untuk memulakan proses undi tidak percaya terhadap presiden Republikan.

Difahamkan, Green menggunakan usul istimewa untuk memaksa undian terhadap isu itu. Semua ahli Republikan menolak usul terbabit bersama-sama 126 pembuat dasar Demokrat.

Ketua Minoriti Dewan, Nancy Pelosi mengadakan sidang media mingguannya di Pusat Pelawat Capitol AS di Washington. – Foto AFP

Ketua Minoriti Dewan, Nancy Pelosi, berkata jawatankuasa Kongres perlu dibenarkan untuk menyiasat kes campur tangan Russia dalam pilihan raya Amerika Syarikat dan kemungkinan Trump bersubahat.

“Siasatan peguam sedang dilakukan dan semua siasatan ini patut dibenarkan untuk diteruskan. Ini bukan masanya untuk melaksanakan undi tidak percaya,” kata beliau merujuk kepada Robert Mueller.

Sumber – AFP
Via – BH Online

Isu Baitulmaqdis : “UMNO rancang anjur perhimpunan solidariti,” – Zahid Hamidi…

UMNO akan berunding dengan rakan parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenai Baitulmaqdis.

UMNO akan berunding dengan rakan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin berhubung pengumuman AS membabitkan Baitulmaqdis. – foto BERNAMA

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan ini diadakan juga bagi menunjukkan penentangan terhadap keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kami yakin umat Islam akan bersama-sama rakyat Palestin bagi menghadapi cabaran ini,” katanya pada sidang media selepas ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pandangan beliau turut dikongsi rakan sejawatnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyatakan Malaysia ‘langsung tidak bersetuju’ dengan tindakan AS

“Kenyataan Presiden Trump (Donald) bukan sahaja kita tak persetujui tetapi kita tentang….noktah!,” katanya.

Selain itu, apabila ditanya sekiranya UMNO akan menyertai himpunan aman kelolaan Pas di Kedutaan AS esok, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, partinya akan menyokong usaha tersebut.

Demonstrasi aman anjuran PAS

“Kami tidak dapat hadir himpunan tersebut kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tetapi beberapa ahli UMNO yang tidak terlibat secara langsung dengan perhimpunan ini akan hadir,” katanya lagi.

Sumber : Astro Awani

Baitulmaqdis : “Pemuda PAS Malaysia Akan Adakan Himpunan Besar Di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat Jumaat Ini”…

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 Rabiulawwal 1439 | 7 Disember 2017

BAITULMAQDIS MILIK UMAT ISLAM

Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pemuda PAS Malaysia
  1. Seluruh dunia menyaksikan Donald Trump telah mengumumkan Baitul Maqdis adalah ibu negara kepada Israel.
  2. Bagi umat Islam ianya adalah satu pengisytiharan paling biadap yang bakal mengundang kebangkitan ummah untuk membebaskan Baitulmaqdis dari tangan Zionis Yahudi.
  3. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengajak seluruh umat Islam untuk turun menyatakan solidariti ummah di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat sejurus selepas solat jumaat, 8 Dis 2017. Himpunan ini akan diketuai oleh YB Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS.

Sejahtera Bersama Islam

Mara Menuju Cita

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia