ahmad zahid hamidi Archive

Isu Baitulmaqdis : “UMNO rancang anjur perhimpunan solidariti,” – Zahid Hamidi…

UMNO akan berunding dengan rakan parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenai Baitulmaqdis.

UMNO akan berunding dengan rakan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin berhubung pengumuman AS membabitkan Baitulmaqdis. – foto BERNAMA

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan ini diadakan juga bagi menunjukkan penentangan terhadap keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kami yakin umat Islam akan bersama-sama rakyat Palestin bagi menghadapi cabaran ini,” katanya pada sidang media selepas ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pandangan beliau turut dikongsi rakan sejawatnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyatakan Malaysia ‘langsung tidak bersetuju’ dengan tindakan AS

“Kenyataan Presiden Trump (Donald) bukan sahaja kita tak persetujui tetapi kita tentang….noktah!,” katanya.

Selain itu, apabila ditanya sekiranya UMNO akan menyertai himpunan aman kelolaan Pas di Kedutaan AS esok, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, partinya akan menyokong usaha tersebut.

Demonstrasi aman anjuran PAS

“Kami tidak dapat hadir himpunan tersebut kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tetapi beberapa ahli UMNO yang tidak terlibat secara langsung dengan perhimpunan ini akan hadir,” katanya lagi.

Sumber : Astro Awani

[Video]…Yusuf Azmi PPIM : “Dalam FB sekarang ini semua cakap saya bab*, sedangkan saya tak terlibat dengan RM500K”…

KUALA LUMPUR – “Janganlah tohmah saya ini babi ke apa, saya ini hanya manusia biasa,” demikian kata aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi yang kesal digelar dengan gelaran yang tidak sepatutnya oleh netizen gara-gara pemberian peruntukan RM500,000 dari Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini.

Baca berita berkaitan : Zahid Hamidi umum dana RM500,000 kepada PPIM…

“Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) PPIM itu berkata, PPIM mempunyai banyak biro dan wang yang diberikan itu adalah digunakan untuk membantu golongan pengguna.

“Yang dapat itu adalah pusat (PPIM). Kita tidak tahu menahu dan selama ini pun kami bergerak atas inisiatif kami sendiri, sukarelawan kami, kami hanya aktivis,” katanya yang turut menyatakan beliau sendiri tidak berada di majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

“Saya menyuarakan masalah rakyat. Saya menyuarakan masalah golongan marhaen seperti saya. Jadi bila saya kritik, tegur adalah benda yang benar dan jelas dan tolong ambil (tindakan).

“Jadi kadang-kadang kita lihat ada cyber-cybertrooper ini yang tiba-tiba menghentam kami dan mengatakan kami nak buat duit. Cuba beritahu kami, selama tujuh tahun saya kendalikan Unit Tindakan Khas PPIM, di mana yang mengatakan kami buat duit?

“Sebenarnya RM500,000 itu sikit. Patut bagi RM100 juta, RM200 juta barulah puas hati. Barulah saya boleh selesaikan semua masalah ahlong pengadu-pengadu saya.

“Jadi benda itu saya tak tahu. Tapi inshaAllah, ini saya pun janji saya tidak akan ambil RM1 pun dari peruntukan itu. Bukan sebab duit itu haram, tidak. Tetapi bukan bahagian saya dan bukan saya yang patut terima. Yang patut terima duit itu mungkin tuan-tuan.

“Saya hari ini masih mampu bergerak walaupun tidak ada duit. InshaAllah. Tetapi kita tidak menafikan bahawa pengumuman itu dilakukan oleh TPM kita, itu kita ucapkan terima kasih.

“Saya ini, kasihan saya tuan-tuan. Di dalam Facebook sekarang ini semua cakap saya babi. Semua ingat saya ambil. Kalau saya nak ambil, dari (awal) join persatuan saya ambil. Boleh checklah, inshaAllah saya tak ambil.

“Tapi sekarang ini saya dah kena babi dan macam-macam. Saya doakan orang yang kata pada saya supaya ingatlah apa yang saya buat untuk rakyat. Janganlah tohmah saya babi dan sebagainya sebab saya ini orang biasa. Saya jadi sedih sebab saya tak ambil.

“Saya nak beritahu dan menjelaskan betul-betul. Kami ini bukan buat untuk tuan-tuan sokong kami. Kami buat untuk Allah dan Islam serta untuk tuan-tuan bersama kami sebab ramai lagi di luar sana yang ditindas dan memerlukan sokongan kita. Suara yang kami nak bawa adalah suara rakyat Malaysia.

Tonton Video :

“Jadi tuan-tuan, demi Allah kami ini susah, betul kami susah tetapi kami bukan orang yang meminta-minta dan saya bukanlah orang yang akan mengadaikan jiwa dan diri saya untuk rasuah. InshaAllah. Sebab saya yakin dengan Allah SWT punya pentadbiran daripada pemerintahan yang ada di Malaysia dan bumi Allah.

“Haih, tengah malam kena babi. Allahuakbar. Saya tak marah, cuma saya kasihan pada dia bila kata-kata dia yang begitu orang share,” katanya.

Sumber : thereporter.my

Zahid Hamidi – “Ketepikan perbezaan, yang penting adalah rakyat”…

PERMATANG PAUH – Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus mengetepikan perbezaan pendapat dan politik antara kedua-dua pihak supaya lebih dapat fokus kepada rakyat yang kini menjadi mangsa banjir di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, yang penting sekarang adalah keperluan mendesak kesemua mangsa banjir diutamakan dan kebajikan mereka diambil kira.

“Kita ketepikan perbezaan di kalangan kita, yang penting adalah rakyat dan mangsa.

“Setakat ini kita berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan namun masih banyak lagi ruang-ruang yang boleh ditambah baik demi menjaga mangsa-mangsa yang terdapat disini,” katanya kepada media dalam siri lawatan ke Pulau Pinang hari ini.

Beliau tiba tepat jam 11.15 pagi di Dewan Bajir Guar Jering, Penanti bagi meninjau perkembangan semasa 50 keluarga di sekitar Sungai Dua hari ini.

Hasil tinjauan tersebut, Zahid mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengendalikan mesyuarat bencana dan bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

“Saya telah berbincang dengan Lim Guan Eng, dan Shahidan Kassim supaya pengesahan senarai mereka yang dipindahkan. Bantuan awal mungkin kita boleh sampaikan esok hari.

“Koordinasi antara Kerajaan Pusat dan negeri dari segi bantuan sedang dilakukan. Kita tidak sangka perkara ini berlaku begitu cepat, ini harus diterima dengan penuh kesabaran dan kami akan membantu,” tambah Zahid lagi.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri itu turut mahu sistem amaran awal bencana daripada Jabatan Kaji Cuaca dimanfaat sebaik mungkin bagi mengelak risiko kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

Katanya, perkara itu penting supaya mangsa di lokasi berisiko dapat dipindahkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal daripada jangkaan bencana berlaku.

“Maklumat awal kepada orang ramai dari segi ramalan cuaca harus sampai kepada kawasan berisiko bencana sama ada dilanda hujan lebat atau banjir.

Sumber – MalaysiaGazette