Berita Archive

Azmin Ali : “Anak saudara dipaksa mengaku serah wang kepadanya,”…

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencabar kepimpinan Umno supaya berhadapan dengan beliau secara anak jantan dan bukannya memberi tekanan kepada ahli keluarga dan suadara mara beliau.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar itu berkata, helah kotor itu terbukti apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan alat Umno-BN untuk memaksa anak saudaranya membuat pengakuan palsu.

“Semalam anak saudara saya dibebaskan oleh SPRM selepas 10 hari di dalam tahanan dan anak saudara saya beritahu dengan peguamnya, apa yang ditanya dalam tahanan, dia paksa anak saudara saya mengaku bahawa wang yang diterima syarikat itu diserahkan kepada saya.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

“Alhamdullilah, anak saudara saya juga ada prinsip, dia beritahu kepada SPRM jangan kaitkan bapa saudara saya dan dia beritahu SPRM, bapa saudaranya seorang yang berpegang kepada prinsip, dia tidak akan tunduk, dia tidak akan memberi keistimewaan kepada ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Peduli Rakyat Dato’ Menteri Besar Selangor Kota Damansara di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Subang, di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun katanya SPRM akhirnya tidak mendapat apa-apa bukti yang boleh mengaitkan beliau.

Katanya, helah kotor itu sama sesekali gagal melemahkan semangat beliau untuk meneruskan perjuangan membela rakyat.

Katanya, namun SPRM akhirnya tidak mendapat sebarang bukti

“Adakah mereka akan berhenti di sini? Tidak, mereka akan serang saya, aibkan saya. Ini sudah menjadi asam garam dalam perjuangan.

“Jangan ingat bila kamu lawan keluarga saya, saya akan takut dan bacul. Saya bukan Pemuda Umno. Saya akan lawan habis-habisan.” katanya.

Sumber : Selangorkini

Isu Baitulmaqdis : “UMNO rancang anjur perhimpunan solidariti,” – Zahid Hamidi…

UMNO akan berunding dengan rakan parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenai Baitulmaqdis.

UMNO akan berunding dengan rakan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menunjukkan keprihatinan terhadap Palestin berhubung pengumuman AS membabitkan Baitulmaqdis. – foto BERNAMA

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan ini diadakan juga bagi menunjukkan penentangan terhadap keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kami yakin umat Islam akan bersama-sama rakyat Palestin bagi menghadapi cabaran ini,” katanya pada sidang media selepas ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pandangan beliau turut dikongsi rakan sejawatnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyatakan Malaysia ‘langsung tidak bersetuju’ dengan tindakan AS

“Kenyataan Presiden Trump (Donald) bukan sahaja kita tak persetujui tetapi kita tentang….noktah!,” katanya.

Selain itu, apabila ditanya sekiranya UMNO akan menyertai himpunan aman kelolaan Pas di Kedutaan AS esok, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, partinya akan menyokong usaha tersebut.

Demonstrasi aman anjuran PAS

“Kami tidak dapat hadir himpunan tersebut kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tetapi beberapa ahli UMNO yang tidak terlibat secara langsung dengan perhimpunan ini akan hadir,” katanya lagi.

Sumber : Astro Awani

Mantan Puteri UMNO : “Isteri Dan Suami Orang KANTOI Bersekedudukan Semasa PAU Berlansung”…

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) digesa agar mengadakan operasi pencegahan maksiat besar-besar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan bermula pada 5 Disember 2017 ini.

Mantan Ahli Jawatankuasa Kerja Puteri Umno Bahagian Klang, Wan Asshima Kamaruddin berkata, setiap kali Perhimpunan Agung Umno banyak berlaku pasangan yang berkhalwat berdasarkan pengetahuan beliau selama 17 tahun pernah bersama parti itu.

Wan Asshima Kamaruddin

Beliau membuat pendedahan itu kerana tidak mahu lagi bersekongkol dan bersubahat dengan perbuatan maksiat setiap kali berlangsung PAU, dalam satu kenyataan kelmarin.

“Saya cabar kepada pihak Pejabat Agama Islam buat operasi besar-besaran di Kuala Lumpur. Berapa ramai pasangan yang berkhalwat, berapa ramai pasangan bukan Islam bersama dengan orang Islam. Saya cabar pihak JAWI buat operasi besar-besaran untuk tangkap khalwat.

Wan Asshima Kamaruddin semasa bersama Puteri UMNO

“Dekat situ kita tengok, berapa ramai pasangan isteri orang, suami orang bersama dalam satu bilik. Ini kalau saya cerita kata saya fitnah, kalau saya cakap kata saya aib. Tetapi saya nampak kemungkaran (itu) semasa saya 17 tahun lagi.

Sempat bergambar dengan DS Rosmah Mansur

“Dan saya tidak akan sesekali bersubahat lagi. Sebab itu, saya minta JAWI semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) ini buat operasi besar-besaran di hotel-hotel Kuala Lumpur,” tegasnya.

Sumber – HARAKAHDAILY 4/12/2017
Sila Klik : Operasi Cegah Khalwat Di PAU

KISAH SULTAN MELAKA FANS : “Lawak Kami Bukan Sembarangan”…

Shahir menjelaskan Facebook berkenaan diwujudkan untuk menghiburkan orang ramai sebelum dijadikan medium pengiklanan.

MELAKA – Bermula sekadar suka-suka, namun kini mempunyai pengikut mencecah ratusan ribu.

Itulah yang berlaku kepada Facebook Sultan Melaka Fans dan Sultan Melaka apabila berjaya menarik peminat menerusi troll dipaparkan dalam laman sosial berkenaan.

Boleh dikatakan setanding laman troll lain seperti Siakap Keli, Amran Fans dan Abdul Rani Kulop Fans, Facebook Sultan Melaka Fans dan Sultan Melaka tidak kurang hebatnya apabila kini mencecah hampir setengah juta Like walaupun baru tiga tahun diwujudkan.

Namun, tidak ramai mengetahui siapa di belakang tabir Facebook berkenaan yang sering memaparkan berita terkini, diselang seli unsur jenaka dan gurau senda.

Pemilik Akaun

Pemilik akaun Facebook berkenaan ialah Shahir Mohd Shah, 33, yang menubuhkan Sultan Melaka Fans pada 2014.

Shahir berkata, pada mulanya dia hanya sekadar suka-suka menghiburkan orang ramai di alam maya dan tidak terlintas langsung mendapat sambutan sehingga membolehkannya menjana pendapatan.

“Lawak kita bukan sembarangan tapi ada fakta.

“Lama-kelamaan, ramai bertanya terutama peniaga online mengenai perkhidmatan buat iklan. Dari situ, saya jadikan sekali laman ini untuk jana pendapatan,” katanya.

Menurutnya, laman itu dikendalikan 10 editor yang dilantik, terdiri daripada bloggers, akauntan, kontraktor, ahli perniagaan.

“Dua editor lagi dilantik uruskan iklan bagi memastikan setiap hari ada iklan yang disiarkan dan dibahagikan kepada dua sesi iaitu siang dan malam.

“Alhamdulillah, sekarang setiap hari ada iklan masuk sehingga adakala boleh cecah pendapatan RM10,000 sebulan,” katanya yang turut bergurau menggelar dirinya sebagai beta.

Pernah bekerja sebagai chef di sebuah hotel, Shahir berkata, dia sanggup meninggalkan kerjaya diceburi lebih 10 tahun itu untuk fokus kepada laman Facebook berkenaan termasuk menguruskan iklan.

Malah katanya, dia pernah ditawarkan RM40,000 oleh seseorang yang mahu membeli laman Facebook itu, namun dia menolaknya.

Tetap berhati-hati

Shahir berkata, walaupun menyelitkan unsur gurauan, kumpulannya tetap berhati-hati menyiarkan sesuatu bahan troll untuk mengelak perkara sensitif.

Malah katanya, dia pernah kehilangan satu akaun Facebook lain yang mempunyai lebih 300,000 pengikut selepas ada pihak membuat aduan kepada Facebook.

Pomade jenama “Beta is Better”

Tagline ‘Beta is Better’ yang sinonim dengan Sultan Melaka Fans turut dijadikan jenama untuk produk pomade yang dijual salah seorang editor laman Facebook berkenaan.

“Sebelum ini, troll yang dilakukan sama ada mengenakan artis, ahli politik dan orang awam itu bersifat terbuka, tapi sekarang kita lebih berhati-hati menyiarkan sebarang lawak atau posting,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga turut membuat lintas langsung di beberapa lokasi percutian menarik untuk pengetahuan orang ramai.

“Mungkin orang lihat tindakan kami negatif atau keburukan laman ini, tapi saya tak ambil peduli setiap komen negatif itu.

“Ada juga yang minta kami bantu siarkan ahli keluarga hilang, hilang kenderaan, menularkan individu menipu atau maklumat bencana alam. Kami anggap ia sebagai khidmat komuniti kepada masyarakat,” katanya yang lebih senang tidak mendedahkan identiti kumpulan yang mengendalikan laman berkenaan.

Sementara itu, editor laman Facebook Siakap Keli, A Rizal Che Zake yang turut terlibat dalam laman Facebook Sultan Melaka Fans mendedahkan, laman Facebook Siakap Keli sebenarnya dimiliki seorang lelaki, yang kemudian dijualkan kepada seseorang dengan harga dianggarkan RM1.5 juta.

Bagaimanapun katanya, pemilik kedua itu menjualkan semula kepada syarikat televisyen swasta dengan harga dianggarkan RM10 juta.

Dia yang turut menjadi editor di beberapa laman Facebook popular lain juga mengakui laman Facebook troll kini mampu menjana pendapatan lumayan.

“Biasanya page yang mempunyai kira-kira 1.1 juta pengikut dijual dengan harga RM45,000. Kalau 600,000 pengikut dengan harga RM30,000. Sementara 300,000 pengikut pula dijual dengan harga RM20,000,

“Berbekal pengalaman dalam bidang pengiklanan, tak ada masalah untuk saya dapatkan pelanggan biarpun tak jumpa mereka secara depan. Yang penting kita cuba buatkan yang terbaik bagi pelanggan dan jujur,” katanya.

sumber : sinarharian

“Penipuan Pengeluaran KWSP, Pencarum & Sindiket Berpakat”… – PPIM

Tidak memahami syarat pengeluaran, sukar mendapat pinjaman dan tertekan dengan kos sara hidup merupakan antara punca pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terjebak dan mudah tertipu dengan aktiviti penipuan pengeluaran simpanan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Keadaan itu menyaksikan pencarum sanggup berpakat dengan sindiket atau ejen yang sentiasa ‘mempunyai maklumat’ mereka yang berdepan masalah kewangan sehingga sanggup bekerjasama menipu KWSP dengan menyediakan dokumen palsu bagi merealisasikan hasrat memiliki ‘sejumlah wang’.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendedahkan, terdapat pencarum yang berpakat dengan syarikat perumahan dan ejen hartanah untuk menipu KWSP semata-mata bagi mendapatkan hak ke atas wang simpanan mereka walaupun menyedari ia adalah tindakan yang salah.

Datuk Nadzim Johan

Dengan menyasarkan pekerja sektor swasta berumur antara 30 hingga 50 tahun, beliau berkata, sindiket atau ejen berkenaan seolah-olah mempunyai data lengkap mereka yang terdesak sebelum menghampiri, berbincang seterusnya berpakat bagaimana untuk bertindak agar wang simpanan boleh dikeluarkan.

Berkongsi kisah mangsa sindiket pengeluaran wang caruman KWSP, Nadzim berkata, ada di antara pengadu mengakui mengalami gangguan mental dan emosi selepas berurusan dengan sindiket tersebut kerana mereka bukan sahaja menipu, malah turut ditipu setelah wang simpanan berjaya dikeluarkan.

“Mereka katakan sebagai tipu keliling atau tipu 100 peratus iaitu sama-sama berpakat menipu KWSP dan selepas simpanan berjaya ditunaikan, mereka pula ditipu ejen sehingga tidak mendapat sesen pun daripada pengeluaran wang hasil keringat sendiri.

“Mereka akui pengeluaran bukan untuk tujuan membeli rumah atau hartanah seperti dinyatakan di dalam dokumen yang diserahkan kepada KWSP tetapi ia lebih kepada tekanan untuk memiliki wang segera, apatah lagi setelah termakan kata-kata manis sindiket bahawa wang itu milik mereka dan mereka berhak ke atasnya dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Nadzim berkata, sejak tiga tahun lepas sehingga kini, PPIM telah menerima kurang daripada 10 aduan berkenaan kes seumpama itu.

Beliau berkata, walaupun masih rendah, pakatan penipuan secara bersama antara pencarum dengan sindiket, ejen atau pihak berkepentingan lain perlu dibendung sebelum menjadi lebih parah kerana pencarum bukan sahaja perlu membayar fi atau wang perkhidmatan kepada pihak tersebut sehingga 10 ke 40 peratus daripada jumlah pengeluaran, tetapi lebih malang ada di antara mereka terpaksa ‘berendam air mata’ apabila ditipu oleh pihak yang diberikan kepercayaan.

“Kita nasihatkan pencarum agar menghargai nilai wang yang disimpan hasil daripada titik peluh mereka dengan tidak mudah mempercayai sindiket atau ejen yang menawarkan pertolongan mengeluarkan wang caruman dan lebih utama, pencarum perlu sedar KWSP tidak pernah melantik pihak ketiga dan mengenakan sebarang bayaran dalam urusan pengeluaran wang simpanan tersebut,” katanya.

Kes melibatkan pencarum yang menipu untuk mengeluarkan wang simpanan pekerja sehingga berani menggunakan sindiket tertentu bagi mengeluarkan wang simpanan mereka walau berdepan risiko tinggi termasuk caj sampingan ejen juga dipercayai terjadi akibat perancangan kewangan yang tidak efisien serta penggunaan kad kredit untuk melakukan pembelian tidak mustahak.

Mengikut laporan akhbar, sebanyak 85 kes cubaan penipuan pengeluaran direkodkan KWSP pada 2015, diikuti 152 kes tahun lepas dan 63 kes setakat Jun tahun ini yang mana sindiket menggunakan iklan di media sosial, risalah dan iklan yang menjanjikan kelulusan mudah bagi pengeluaran wang daripada pencarum sebagai modus operandi.

Berdasarkan Akta KWSP 1991, pencarum yang didapati bersalah membabitkan dokumen palsu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber – BERNAMA